PETALING JAYA: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli masih perlu membuktikan dia memiliki potensi untuk melangkah jauh dalam Kejuaraan Motosikal Dunia selepas menamatkan aksi di kedudukan ke-10 pada Grand Prix (GP) Brazil di Litar Ayrton Senna, Brazil, kelmarin.
Anak jati Terengganu itu yang bergelut mendapatkan penajaan syarikat gergasi tempatan dan juga sokongan kerajaan, sebelum syarikat AEON Credit tampil menjadi penyelamat berjaya mengutip enam mata pertamanya pada perlumbaan pusingan kedua bagi musim 2026.
Bermula dari grid ketiga, Hakim Danish bermula positif apabila berjaya mengekalkan kedudukannya itu, namun insiden kemalangan sehingga memaksa marshal perlumbaan mengibarkan bendera merah telah mengubah rentaknya.
Pelumba yang mewakili pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI itu melakar masa 20 minit 33.857 saat (s) sebelum bendera merah dikibarkan ketika perlumbaan memasuki pusingan ke-14.
Sebaik perlumbaan disambung semula dengan berbaki lima pusingan, Hakim Danish, 18, melakukan kesilapan yang menyebabkan dia hampir terjatuh dan terpaksa berpuas hati dengan kedudukan ke-10 (7:22.904.s).
Hakim Danish berkata, sebelum bendera merah merah dikibarkan, dia bermula di barisan hadapan dan berjaya mengekalkan kedudukan itu untuk seketika.
“Sejurus perlumbaan bersambung semula (bermula di kedudukan kesembilan), keadaan menjadi lebih sukar buat saya kerana hampir terjatuh ketika ingin mengejar kelompok hadapan.
“Jadi, sukar untuk mengejar ketika saingan hanya berbaki lima pusingan. Apapun, saya sangat gembira dengan keputusan saya sepanjang minggu ini,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.
Menurut Hakim Danish, selepas ini, dia akan mengalihkan fokus untuk GP Amerika Syarikat di Austin, Texas pada 27-29 Mac ini.
“Di Austin saya akan buat lebih baik, terima kasih kepada semua yang menyokong. Pasukan juga telah memberikan yang terbaik, minggu ini terutama mampu memperbaiki jentera saya dalam tempoh singkat pada sesi kelayakan,” ujarnya.
Pelumba Sepanyol, Maximo Quiles dari CFMOTO Gaviota Aspar Team mengungguli saingan dan rakan sepasukannya, Marco Morelli dari Argentina di kedudukan kedua, manakala, Veda Pratama dari Indonesia di tempat ketiga. – UTUSAN










