Litar COTA cabaran Hakim Danish

Litar COTA cabaran Hakim Danish

Sokongan krew pasukan amat penting bagi membantu Hakim Danish mengadaptasi dengan Litar COTA menjelang GP AS di Austin hujung minggu ini. - Ihsan SIC Racing
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Litar COTA disifatkan trek paling mencabar dalam kalendar MotoGP dan ujian besar menanti pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli untuk segera mencari penyesuaian menjelang pusingan ketiga Grand Prix (GP) Amerika Syarikat (AS) di Austin, minggu ini.

Pelumba berusia 18 tahun itu mempamerkan prestasi memberangsangkan pada GP Brazil, minggu lalu, selepas menyambar petak ketiga pada sesi kelayakan sebelum melengkapkan aksi di tangga ke-10.

Justeru, pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu kini giat memperkemaskan teknik tunggangan bagi mengharungi karakter unik litar COTA yang memiliki 20 selekoh mencabar sepanjang 5.513 kilometer (km) itu.

Hakim Danish berkata, aksinya di Cota bakal menjadi penampilan sulungnya pada GP AS dan pengalaman yang diraih di Brazil telah meningkatkan tahap keyakinannya bersaing dalam kejuaraan dunia.

“Ini kali pertama saya berlumba di COTA, jadi ia satu pengalaman baharu dan pastinya mencabar untuk saya.

“Litar ini sangat teknikal, dengan 20 selekoh dan beberapa bahagian selekoh S yang memerlukan fokus serta ketepatan tinggi. Jadi saya perlu cepat menyesuaikan diri,” katanya.

Menurut anak jati Terengganu itu, dia perlu berbuat demikian sejak dari sesi latihan lagi supaya dapat mengekalkan rentak dan bersaing dengan lebih baik menjelang kelayakan.

Sementara itu, pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin pula berkata, Litar COTA merupakan litar baharu yang perlu dipelajari oleh Hakim Danish dan ia menjadi satu cabaran besar pelumba itu yang tidak pernah beraksi di trek tersebut.

“Pada pendapat saya, dalam kalendar MotoGP tahun ini, inilah litar yang paling sukar untuk diadaptasi, saya berharap Danish dapat memberikan yang terbaik dan tampil kompetitif bermula dari hari pertama perlumbaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×