Bos Ducati persoal penalti Marquez

Bos Ducati persoal penalti Marquez

Marc Marquez
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BURIRAM: Bos Ducati, Gigi Dall’Igna menyifatkan keputusan penalti yang meragut kemenangan Marc Marquez dalam perlumbaan pecut MotoGP Thailand, minggu lalu boleh dipersoalkan.

Drama bermula apabila Marquez yang bangkit daripada pramusim sukar hampir menghadiahkan kemenangan buat Ducati sebelum pertarungan sengit dengan Pedro Acosta di penghujung perlumbaan mencetuskan kontroversi penalti.

Keputusan panel Stewards MotoGP FIM menjatuhkan hukuman turun satu kedudukan pada saat akhir memaksa juara dunia itu memperlahankan motosikalnya di selekoh terakhir dan menghadiahkan kemenangan kepada Acosta.

“Ringkasnya ia adalah perlumbaan yang kami tahu perlu diuruskan dengan bijak dan Marc melakukan segala-galanya dengan penuh fokus serta komitmen.

“Namun dia benar-benar tidak bernasib baik kerana keputusan yang boleh dipersoalkan oleh Stewards dalam perlumbaan pecut telah meragut kemenangan daripadanya,” kata Dall’Igna.

Malang tidak berhenti di situ apabila Marquez sekali lagi diuji pada perlumbaan utama apabila kerosakan rim roda memaksanya menarik diri ketika sedang memburu tempat podium.

Insiden itu turut menamatkan rekod luar biasa Ducati yang sebelum ini menaiki podium selama 88 perlumbaan berturut-turut selain kali pertama jenama itu gagal berada dalam kelompok lima terbaik dalam tempoh 102 Grand Prix (GP).

“Walaupun berdepan beberapa kesukaran, podium sebenarnya berada dalam jangkauan sebelum dia terpaksa menamatkan perlumbaan lebih awal,” ujar Dall’Igna. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN