Berjaya padam kebakaran hutan selepas 10 jam

Berjaya padam kebakaran hutan selepas 10 jam

KEADAAN kawasan hutan berhampiran Surin Residence, Solok Tanjung Bungah di Tanjung Bungah, Pulau Pinang yang terbakar sejak petang semalam sebelum berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 12.20 tengah malam tadi. - IHSAN JBPM PULAU PINANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kebakaran hutan di kawasan bukit berhampiran Surin Residence, Solok Tanjung Bungah di Tanjung Bungah di sini sejak petang semalam akhirnya berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh sepasukan anggota bomba, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, John Sagun Francis berkata, bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 3.59 petang semalam, sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, didapati kebakaran melibatkan kawasan hutan di atas bukit dengan anggaran keluasan terjejas kira-kira 1.2 hektar dan kawasan tersebut juga terletak kira-kira dua kilometer (km) dari kaki bukit.

“Operasi pemadaman bagaimanapun agak mencabar kerana tiada laluan kenderaan untuk ke lokasi kebakaran dan anggota bomba terpaksa mendaki bukit dengan membawa peralatan pemadaman untuk sampai ke lokasi kebakaran.

“Dalam hal ini, komander operasi berjaya mengenal pasti laluan akses baharu sejauh kira-kira 500 meter bagi memudahkan pasukan operasi menjalankan kerja pemadaman,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, operasi pemadaman dibahagikan kepada dua sektor dengan teknik ‘direct attack’ menggunakan semburan air serta peralatan pemukul api (fire beater) dan pasukan bomba turut membuat pengasingan atau ‘fire break’ bagi mengelak kebakaran daripada merebak ke kawasan lain.

“Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira pukul 12.20 tengah malam sebelum operasi ditamatkan pada pukul 2.03 pagi selepas memastikan tiada lagi punca bahaya,” katanya memberitahu, tiada mangsa terlibat dalam kejadian tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×