PETALING JAYA: Sektor produk pengguna dijangka mengekalkan daya tahan disokong pasaran pekerjaan yang sihat, pertumbuhan gaji dan bantuan fiskal kerajaan, meskipun berdepan cabaran sentimen pengguna yang lemah serta peningkatan kos upah.
RHB Investment Bank Berhad (RHBIB) berkata, penilaian sektor berada pada paras yang tidak membebankan iaitu 1.5 sisihan piawai di bawah purata lima tahun, sekali gus menunjukkan sebahagian besar risiko penurunan harga telah pun diambil kira oleh pasaran.
Katanya, prospek penggunaan domestik dijangka kekal berdaya tahan, disokong kadar pengangguran 2.9 peratus pada Ogos 2026 serta pertumbuhan median gaji sektor formal sebanyak 3.8 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2026.
“Kami mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor itu berikutan penilaian yang menarik.
“Antara pilihan utama sektor ialah 99 Speed Mart Retail Bhd., Nestle (Malaysia) Bhd., Eco-Shop Marketing Bhd., QL Resources Bhd. dan Farm Fresh Bhd.,” katanya dalam nota penyelidikan.
Bank pelaburan berkata, langkah dalam Belanjawan 2027 yang bertujuan meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah dijangka membantu menyokong perbelanjaan pengguna dan memperbaiki sentimen pasaran.
Menurutnya, peruntukan RM16 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), bersama langkah berkaitan cukai pendapatan individu, dijangka menyokong pendapatan sektor bagi tahun kewangan 2027, khususnya peruncit barangan keperluan dan barangan bernilai rendah.
“Walaupun bantuan berulang bagi setiap isi rumah secara umumnya tidak banyak berubah, peningkatan komponen SARA dijangka mengarahkan lebih banyak perbelanjaan kepada barangan keperluan yang layak.
“Keadaan itu dijangka memberi manfaat kepada rangkaian peruncitan seperti 99 Speed Mart, Eco-Shop dan MR DIY Group Bhd, dengan peningkatan jualan di kedai sedia ada membantu meningkatkan penyerapan kos tetap serta mengimbangi tekanan kos upah.
“Skop SARA yang lebih luas dan bantuan sekali beri sempena perayaan turut dijangka menyokong pembelian, manakala kenaikan gaji mulai Jun 2027 akan memberikan rangsangan tambahan kepada pendapatan boleh guna isi rumah,” ujarnya.
Dari segi pemilihan saham, RHBIB berkata, 99 Speed Mart dan Nestle Malaysia dijangka mendapat manfaat utama daripada peningkatan peruntukan program SARA, selain mempunyai daya tahan menerusi penawaran produk keperluan asas dan kekuatan jenama masing-masing.
Tambahnya, Eco-Shop pula menjadi pilihan berikutan prospek pertumbuhannya yang lebih kukuh berbanding sektor, didorong usaha memperluas penembusan dalam industri kedai barangan harga rendah.
“Sementara itu, QL Resources dijangka mendapat manfaat daripada pemulihan keadaan perniagaan dalam segmen pembuatan produk marin dan penternakan bersepadu, yang berpotensi menyokong pertumbuhan semula pendapatannya.
“Potensi kemasukan semula QL Resources sebagai komponen FTSE KLCI Bursa Malaysia (FBM KLCI) juga boleh menjadi pemangkin kepada penilaian semula saham itu pada paras lebih tinggi,” jelasnya. – UTUSAN











