LONDON: Pengurus sementara Tottenham Hotspur, Igor Tudor menegaskan dia 100 peratus yakin pasukannya mampu mengelak penyingkiran ketika bersiap sedia mengharungi aksi derbi utara London menentang Arsenal, esok.
Tottenham kini hanya dipisahkan lima mata daripada zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris (EPL) sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penyokong terhadap kemungkinan kelab itu tersingkir ke divisyen kedua buat kali pertama sejak musim 1977/1978.
Tudor dilantik minggu lalu bagi menggantikan Thomas Frank mengakui pasukan berada dalam situasi sukar selepas hanya meraih dua kemenangan daripada 17 perlawanan terakhir liga.
“Saya 100 peratus yakin kami akan kekal dalam EPL musim depan.
“Saya bukan datang untuk berseronok tetapi untuk bekerja. Masih banyak perkara perlu diperbaiki dan ia satu penghormatan untuk berada di sini,” katanya.
Bekas jurulatih Juventus dan Lazio itu bakal berdepan tugas getir dalam perlawanan sulungnya apabila menentang Arsenal yang kini menerajui carta liga dan sedang memburu kejuaraan.
Lebih mencabar, Tudor terpaksa menyusun strategi tanpa 11 pemain yang mengalami kecederaan serta penggantungan.
“Ini situasi yang jarang berlaku. Kami hanya berlatih dengan 13 pemain. Ia bukan keadaan ideal tetapi cabaran ini perlu ditempuhi.
“Tiga belas pemain yang ada sudah mencukupi untuk kami capai apa yang dihajati pada Ahad ini,” katanya. – AFP










