Rafizi tetap saman Caprice

Rafizi tetap saman Caprice

Kawalan keselamatan
RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Rafizi Ramli akan meneruskan saman terhadap pempengaruh media sosial, Caprice selepas beberapa hari peluang diberikan kepadanya untuk meminta maaf tidak diendahkan.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, kandungan yang dilakukan oleh Caprice itu disifatkan memang menuduh beliau mempunyai kepentingan manfaat di dalam syarikat miliknya iaitu Invoke Solutions Sdn. Bhd.

“Pertanyaan yang berbentuk tuduhan atau sindiran tidak boleh dijadikan alasan untuk mengelakkan tindakan undang-undang di bawah undang-undang fitnah.

“Sebaliknya, elemen seperti innuendo dan sindiran tersirat juga boleh diambil kira oleh mahkamah dalam menilai sama ada sesuatu kenyataan itu fitnah atau tidak,” katanya menerusi podcast Yang Berhenti Menteri (YBM) semalam.

Sebelum ini, Caprice mendesak Rafizi menurunkan semua hantaran di media sosial dan meminta maaf kepadanya sebelum 5 petang atau berdepan tindakan undang-undang.

Ini susulan hantaran di laman sosial Rafizi berkenaan tuduhan Caprice berhubung kes rasuah berjumlah RM2.5 bilion membabitkan penganugerahan kontrak kepada sebuah syarikat berkaitan dirinya.

Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli menegaskan beliau tidak pernah menyebut jumlah RM2.5 bilion itu mahu pun sebarang perkataan rasuah dalam hantaran video di laman sosialnya.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, segala bukti yang ditunjukkan itu disifatkan memberi peluang besar kepadanya untuk menang saman memandangkan tiada sebarang elemen yang boleh menuduh beliau mempunyai konflik kepentingan.

Jelasnya, elemen yang perlu dilihat ialah adalah adakah rasuah itu berlaku sama ada terdapat pemberi dan penerima dan campur tangan.

“Kalau betul saya menerima rasuah, sudah lama saya ke dalam penjara. Tapi sampai sekarang tidak berlaku pun. Saya yakin Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) memantau setiap hari,” katanya.

Rafizi berkata, ahli perniagaan terbabit dikenali selepas beliau tidak terlibat dalam dunia politik dan hubungan mereka hanyalah berdasarkan klien yang memerlukan kepakaran pasukan di dalam syarikat Invoke Solutions Sdn. Bhd.

“Manakala menerusi bukti carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang ditunjukkan, ia sebenarnya adalah ‘preference share’ iaitu dalam bentuk pinjaman, bukannya saham.

“Untuk Caprice kata ini adalah saham berkepentingan, adalah salah sama sekali kerana mereka hanyalah klien saja. Invoke ada banyak klien, kalau macam itu, habislah semuanya ada kepentingan,” katanya.

Dalam pada itu, Rafizi berpendapat, semua yang berlaku ini hanyalah untuk mengalih isu yang dibangkitkan berkenaan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

“Taktik ini sebenarnya untuk kurangkan masa dan tenaga ditumpukan kepada Azam Baki. Tapi mereka tidak tahu, saya mempunyai banyak ‘lemak’ untuk tumpukan kepada kes berkenaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN