KUANTAN: Pengasingan kubur suspek kes bunuh empat sekeluarga di Taman Cerating Damai di sini, kira-kira lima meter dari mangsa lain dibuat sebagai peringatan kepada masyarakat bahawa perbuatan membunuh dan bunuh diri adalah dosa besar dalam Islam.
Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Abdul Zaki Md. Zain berkata, selagi seseorang itu tidak menzahirkan unsur kesyirikan atau kekafiran, statusnya sebagai muslim tidak terlucut, meskipun melakukan dosa besar seperti membunuh.
Katanya, daripada sudut hukum dan pengurusan jenazah, individu yang melakukan pembunuhan tetap diuruskan seperti jenazah muslim lain.
“Walaupun membunuh itu satu dosa besar, ia tidak menjadikan seseorang itu terkeluar daripada Islam selagi mana tidak ada unsur kesyirikan atau kekafiran yang jelas.
“Cuma, jika pandangan pimpinan dan pertimbangan tertentu melihat pengasingan kubur boleh menjadi satu peringatan kepada masyarakat bahawa membunuh adalah dosa besar, maka kaedah itu boleh diambil,” katanya.
Abdul Zaki berkata demikian untuk menjelaskan sebab mengasingkan kubur suspek daripada empat mangsa yang dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Cerating.
Dalam kejadian pada 17 Februari lalu, seorang pengawal keselamatan dipercayai membunuh empat ahli keluarganya iaitu isteri, dua anak berusia tiga dan lima tahun serta ibu kandungnya, 56, sebelum membunuh diri di rumah mereka di Taman Cerating Damai.
Jenazah empat mangsa disemadikan dalam satu liang lahad pada Rabu lalu manalala jenazah suspek dikebumikan berasingan pada jarak kira-kira lima meter.
Abdul Zaki berkata, pendekatan sama pernah dilaksanakan dalam kes-kes terdahulu atas pertimbangan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat.
“Bunuh diri juga satu dosa besar. Jika difikirkan perlu ada peringatan kepada masyarakat, maka pengasingan itu dibuat. Namun, jika tanah perkuburan itu disusun secara sistematik dan perlu mengikut turutan tertentu, maka pengebumian boleh dilakukan seperti biasa tanpa perlu pengasingan,” katanya.
Katanya, mengasingkan kubur bukan bertujuan menghukum si mati, sebaliknya langkah mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai beratnya dosa membunuh menurut Islam. – UTUSAN











