Sanusi sifatkan Ahmad Samsuri teknokrat islamik berfikiran terbuka

Sanusi sifatkan Ahmad Samsuri teknokrat islamik berfikiran terbuka

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar merupakan pemimpin teknokrat islamik yang berfikiran terbuka, namun tegas terhadap pendiriannya.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, Ahmad Samsuri memiliki karakter tersendiri yang disenangi ramai, iaitu seorang pemimpin yang tenang, tidak gopoh, bersifat ‘soft-spoken’ serta mempunyai kemahiran insaniah yang tinggi.

“Beliau seorang yang terbuka, tidak kekok bergaul dengan masyarakat daripada pelbagai latar belakang dan fahaman politik. Beliau juga memahami seni dan sains politik

“Maka pelantikan beliau selaku Pengerusi PN yang baharu sebagai keputusan yang tepat dan bertepatan dengan keperluan semasa gabungan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN yang dihadiri Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau dan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P. Punithan memuktamadkan pelantikan Ahmad Samsuri.

Pelantikan Menteri Besar Terengganu yang juga Naib Presiden Pas itu menamatkan spekulasi siapa individu paling layak selepas Muhyiddin meletakkan jawatannya berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, pengalaman luas Ahmad Samsuri selama 10 tahun sebagai Setiausaha Politik Presiden Pas telah membuka ruang penglibatan dan jaringan strategik bersama pelbagai pihak sehingga parti itu tidak lagi dilihat terasing dalam dunia politik.

“Pendekatan itu turut membantu mengubah watak dan imej kepimpinan parti sehingga Pas mula diterima kalangan pengundi bandar serta kelas menengah.

“Beliau juga antara individu yang membuka jalan menghubungkan Pas dengan parti-parti bukan Melayu dan bukan Islam sehingga Pas tidak lagi ditakuti, sebaliknya dihormati,” katanya.

Tambahnya, Ahmad Samsuri turut mempunyai rangkaian kenalan luas di luar parti sejak zaman pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), University of Leeds, United Kingdom mahupun ketika berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Jaringan tersebut membolehkan beliau mendapatkan pandangan serta analisis politik semasa daripada rakan-rakan di luar lingkungan parti bagi merancang strategi dan pergerakan masa depan.

“Ahmad Samsuri juga kerap mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihak untuk berkongsi pandangan dan idea, selain memahami isu dan tahu menempatkan diri dalam pelbagai senario.

“Beliau juga tidak pernah meminta-minta jawatan, sebaliknya sentiasa bersedia dibantu dan memikul amanah apabila diberikan tanggungjawab,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN