Muhyiddin gesa kerajaan bertindak pantas lindungi rakyat

Muhyiddin gesa kerajaan bertindak pantas lindungi rakyat

MUHYIDDIN Yassin berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Kubang Rotan di Port Padang Garam, Kuala Kedah di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan digesa bertindak lebih pantas dan tegas dalam menangani kesan krisis global susulan pergolakan di Asia Barat yang memberi tekanan kepada ekonomi serta kos sara hidup rakyat.

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengakuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa negara berdepan krisis membuktikan Malaysia sedang menghadapi cabaran besar yang memberi kesan meluas kepada pelbagai sektor.

Menurut beliau, krisis yang tercetus bukan sahaja melibatkan kenaikan harga minyak dunia, malah turut menjejaskan sektor perniagaan kecil dan sederhana, pertanian serta pelancongan.

“Kita sedar situasi negara secara umumnya tidak baik, saya terbaca kenyataan terkini Perdana Menteri yang kata Malaysia dalam keadaan krisis, saya percaya ini petanda dan bukti penerimaan kerajaan tentang cabaran besar yang kita sedang hadapi apabila berlakunya pergolakan di Timur Tengah.

“Apa yang berlaku bukan sahaja melibatkan isu minyak tetapi kesan menyeluruh kepada semua sektor kehidupan rakyat khususnya di negara kita,” katanya berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubang Rotan, malam tadi.

Bekas Perdana Menteri itu menjelaskan, keadaan tersebut memberi tekanan ketara kepada rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah yang semakin terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.

Beliau berkata, kerajaan tidak boleh sambil lewa atau bertindak secara berkala dalam menghadapi krisis itu, sebaliknya perlu memantau perkembangan setiap masa dan bertindak segera sekiranya terdapat kesan negatif kepada rakyat.

“Saya pernah suarakan supaya tindakan ini tidak boleh dibuat sambil lewa ataupun bertindak hanya mengikut tempoh tertentu seminggu, sebulan dan sebagainya kerana bila kita berhadapan dengan krisis maka kita kena menentukan setiap ketika dan saat.

“Perkara yang akan bawa kesan negatif kepada rakyat maka Kerajaan Persekutuan hendaklah bertindak cepat, pantas, memberikan jawapan dan menjalankan kewajipan untuk menentukan supaya kehidupan rakyat tidak terkesan,” ujarnya.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, pengalaman ketika negara berdepan pandemik Covid-19 sebelum ini menunjukkan kerajaan perlu bertindak awal bagi memastikan kebajikan rakyat terpelihara.

“Kita pastikan waktu itu tidak ada rakyat mati kebulur. Bantuan makanan disampaikan kepada mereka yang memerlukan walaupun keadaan ketika itu agak tertutup.

“Apakah langkah sedemikian perlu diambil sekarang, saya kira mungkin kerajaan harus memberikan pertimbangan yang jelas tentang hala tuju bagaimana masalah yang dihadapi tidak membawa bencana buruk kepada negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta serta pihak berkepentingan bagi memastikan kesan krisis dapat ditangani secara berkesan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN