Bersatu, Pas perlu perkemaskan kerjasama - Muhyiddin

Bersatu, Pas perlu perkemaskan kerjasama – Muhyiddin

MUHYIDDIN Yassin bersama Muhammad Sanusi Md. Nor menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Kubang Rotan di Port Padang Garam di Kuala Kedah, Alor Setar. - FACEBOOK AZMIN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerjasama antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas serta parti-parti lain dalam Perikatan Nasional (PN) perlu diperkemas dan dikekalkan setiap masa.

Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semangat ukhuwah dan perpaduan dalam kalangan pimpinan parti komponen PN juga penting bagi memastikan kestabilan serta kekuatan gabungan itu terus terpelihara.

“Sebagaimana disebutkan Datuk Mohd. Salleh Saidin (Timbalan Pengerusi Bersatu Kedah) tadi, beliau tekankan soal semangat kerjasama, ukhuwah, perpaduan dan juga kesefahaman yang itu bagi saya agak penting.

“Saya hendak tekankan juga khususnya dalam peringkat PN, kerjasama antara Bersatu dengan Pas selain parti-parti lain dalam PN adalah satu kewajipan dan tanggungjawab yang harus kita kukuh, perlu kekalkan sepanjang masa,” katanya.

Presiden Bersatu itu berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubang Rotan, malam tadi.

Sementara itu, Muhyiddin memuji usaha Kerajaan Negeri Kedah di bawah pimpinan PN yang disifatkan terus komited melaksanakan pembangunan demi kesejahteraan rakyat di negeri itu.

Kata beliau, kepemimpinan kerajaan negeri termasuk dari Bersatu Kedah telah berjaya mempamerkan kesungguhan dalam memastikan negeri berkenaan terus maju dan memberi manfaat kepada rakyat.

“Bersatu yang bersama-sama dalam kerajaan negeri telah menunjukkan keupayaan bukan setakat menggerakkan usaha-usaha parti tetapi sama-sama menyumbang kepada usaha-usaha pembangunan negeri di bawah kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

“Tahniah kepada kepemimpinan kerajaan Kedah yang telah menerajui pentadbiran sejak pilihan raya lalu dan dapat meneruskan usaha-usaha memaju serta membangunkan Kedah untuk semua peringkat,” ujarnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam hantaran Facebook beliau memaklumkan, Muhyiddin turut mengadakan perbincangan tertutup dengan Muhammad Sanusi pada majlis itu tentang perkembangan politik semasa dan langkah-langkah memperkukuh PN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN