KUALA LUMPUR: Gerakan tiada masalah bekerjasama dengan ‘rumah baharu’ Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dijangka akan memohon menyertai Perikatan Nasional (PN).
Presidennya, Datuk Seri Dr. Dominic Lau berkata, pengalaman bekerjasama sejak awal penubuhan PN sehingga Hamzah dilantik sebagai Timbalan Presiden membuktikan hubungan baik dan dan sudah lama terjalin.
“Kita pernah bersama dalam PN, beliau (Hamzah) bukan orang baharu dan merupakan pemimpin semasa Gerakan bersama PN.
“Beliau juga merupakan Setiausaha Agung parti, jadi kerjasama dengan Hamzah pun tiada masalah, sampailah beliau memegang jawatan Timbalan Presiden PN.
“Kita pun sudah melalui Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) dengan semua komponen parti dalam PN, termasuk Pas, Bersatu, MIPP dan Gerakan.
“Jadi hubungan kita memang erat melalui pilihan raya tersebut,” katanya dalam sidang media sempena Majlis Makan Malam Aidilfitri di sini, malam tadi.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan parti baharu yang bakal diterajui oleh Hamzah yang juga Ketua Pembangkang, akan memohon menyertai PN selepas penubuhannya diumumkan secara rasmi dalam masa terdekat.
Bekas Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kepala Batas, Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq dilaporkan berkata, langkah itu bukan sahaja memperkukuhkan kedudukan parti itu, tetapi juga PN untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Tambah Dominic, Gerakan mengalu-alukan parti yang bakal diterajui oleh Hamzah menyertai PN selagi membawa ideologi yang sama.
Bagaimanapun, beliau berkata, permohonan untuk menyertai PN perlu melalui prosedur dan mengikut perlembagaan yang ditetapkan.
“Memanglah mana-mana parti-parti yang mahu menyertai PN kita alu-alukan, tetapi mesti ikut prosedur dan perlembagaan PN.
“Seperti baru-baru ini, Pejuang ada mohon masuk PN tapi kita tidak terus terima, bukan kita tolak tapi kita nak perincian yang lebih daripada parti tersebut sebelum kita terima mereka,” katanya. – UTUSAN










