Penyelenggaraan jalan seluruh negara RM2.96 bilion

Penyelenggaraan jalan seluruh negara RM2.96 bilion

AHMAD Maslan - JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM2.96 bilion diperuntukkan Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi kerja-kerja penyelenggaraan infrastruktur pada tahun 2025, meningkat RM490 juta berbanding tahun sebelumnya.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, peruntukan itu melibatkan penyelenggaraan rutin berjadual, penyelenggaraan berkala serta kerja-kerja kecil kecemasan yang dilaksanakan oleh syarikat konsesi penyelenggaraan jalan persekutuan yang telah dilantik.

Menurut beliau, bagi Semenanjung Malaysia, Selangor menerima peruntukan sebanyak RM247.15 juta; Pahang (RM428.85 juta); Terengganu (RM166.4 juta); Kelantan (RM173 juta); Perak (RM336 juta) dan Pulau Pinang (RM53 juta).

“Selain itu, Kedah diperuntukkan RM236.2 juta, Perlis (RM43.4 juta), Negeri Sembilan (RM192.8 juta), Melaka (RM61.8 juta) dan Johor menerima antara jumlah tertinggi iaitu RM424 juta.Jumlah keseluruhan peruntukan bagi Semenanjung Malaysia adalah sebanyak RM2.36 bilion,

“Sarawak menerima peruntukan RM213.2 juta; Sabah (RM341.7 juta) dan Wilayah Persekutuan Labuan menerima peruntukan sebanyak RM40.62 juta, menjadikan jumlah keseluruhan bagi Sabah, Sarawak dan Labuan sebanyak RM595.59 juta.

“Jumlah keseluruhan RM 2.956 bilion,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Zahari Kechik (PN-Jeli) yang meminta penjelasan mengenai jumlah peruntukan yang telah disalurkan dan dilaksanakan bagi penyelenggaraan jalan raya di setiap negeri pada tahun 2024, serta peruntukan penyelenggaraan jalan raya yang diperuntukkan bagi tahun 2025.

Ahmad Maslan berkata, terdapat pelbagai kategori jalan di negara ini yang diselenggara oleh pihak berbeza, termasuk Jalan Persekutuan dan lebuh raya yang berada di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Pusat.

Selain itu, beliau berkata, terdapat juga Jalan Negeri, Jalan Bandaran dan jalan taman yang berada di bawah tanggungjawab Kerajaan Negeri.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri menerima peruntukan khusus daripada Kementerian Kewangan menerusi peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan Malaysia (MARRIS) bagi penyelenggaraan Jalan Negeri, Jalan Taman dan Jalan Bandaran, selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Peruntukan yang saya sebutkan sebelum ini adalah khusus bagi penyelenggaraan Jalan Persekutuan. Namun, sekiranya masih terdapat jalan negeri atau jalan bandaran yang mengalami kerosakan teruk seperti berlubang, Kerajaan Negeri juga bertanggungjawab untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×