Pelan Strategik KKDW 2026–2030 pacu agenda pemerkasaan desa

Pelan Strategik KKDW 2026–2030 pacu agenda pemerkasaan desa

AHMAD Hamidi Hamidi (tiga dari kanan) melancarkan buku Pelan Strategik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) 2026-2030 pada Majlis Permukiman KKDW dan Permukiman Syarikat Milikan Agensi KKDW Tahun 2026 di Kuala Nerus, Terengganu. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Pelan Strategik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) 2026–2030 menjadi pemacu kepada agenda pemerkasaan desa yang lebih bersepadu, inklusif dan mampan selaras dengan aspirasi Malaysia Madani serta keperluan pembangunan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia sebagai hala tuju utama pembangunan luar bandar negara bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Pelan Strategik KKDW 2026–2030 dirangka selaras dengan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) dan Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB).

“Pelan ini memberi penekanan kepada lima kluster utama iaitu ekonomi desa, modal insan, jaringan prasarana, usahawan desa serta sistem penyampaian perkhidmatan,” katanya di sini hari.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan pelan strategik berkenaan sempena Permukiman KKDW dan Permukiman Syarikat Milikan Agensi KKDW Tahun 2026 yang menghimpunkan kepemimpinan tertinggi kementerian serta agensi berkaitan.

Yang hadir sama Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Muhd. Khair Razman Mohamed Annuar.

Dalam pelan strategik itu, sebanyak 20 strategi dan 49 inisiatif dirangka bagi memacu pembangunan luar bandar secara bersepadu dan mampan, dengan sasaran manfaat kepada 8.17 juta penduduk desa, iaitu kira-kira 24 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia.

Pelan Strategik KKDW 2026–2030 juga berfungsi sebagai dokumen panduan pelaksanaan program dan projek kementerian dengan penekanan terhadap kecekapan penyampaian perkhidmatan, akauntabiliti penggunaan sumber awam serta penghasilan impak langsung kepada rakyat.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, keupayaan KKDW melaksanakan anjakan strategik ini turut disokong pencapaian hasil yang direkodkan sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), sekali gus menandakan peralihan kementerian daripada fasa perancangan kepada fasa pencapaian hasil.

“Antara pencapaian utama adalah penurunan kadar kemiskinan tegar daripada 0.2 peratus pada 2022 kepada 0.09 peratus pada 2024 manakala kadar kemiskinan luar bandar menurun daripada 12.9 peratus kepada 9.9 peratus dalam tempoh sama.

“Selain itu, kadar migrasi luar bandar ke bandar turut merosot kepada 0.5 peratus pada 2024 berbanding 2.4 peratus pada 2022, sementara kebolehpasaran graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) KKDW mencatatkan kadar melebihi 98.7 peratus,” katanya.

Menurut beliau, pencapaian tersebut membuktikan bahawa pendekatan berasaskan hasil dan pelaksanaan secara bottom-up disokong oleh kerjasama merentas agensi mampu meningkatkan keberkesanan penyampaian dasar bukan sahaja dalam KKDW dan agensinya, malah bersama rakan strategik seperti Felda, Majlis TVET Negara (MTVET), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) serta agensi dan jabatan berkaitan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN