Petronas ambil alih pegangan Aramco dalam PRefChem di Pengerang

Petronas ambil alih pegangan Aramco dalam PRefChem di Pengerang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petroliam Nasional Berhad (Petronas), rakan tenaga dan penyelesaian progresif, bersama Saudi Aramco, antara syarikat tenaga dan kimia bersepadu terkemuka dunia, mengumumkan pemeteraian perjanjian bagi pemindahan pegangan ekuiti Aramco dalam Pengerang Refining Company Sdn. Bhd. dan Pengerang Petrochemical Company Sdn. Bhd. (PRefChem) kepada Petronas.

PRefChem terletak di Kompleks Bersepadu Pengerang di Pengerang. 

Tertakluk kepada syarat penutupan lazim, pemindahan tersebut akan menjadikan PRefChem sebagai anak syarikat milik penuh dan dikendalikan sepenuhnya oleh Kumpulan Petronas.

Dalam kenyataan itu, pemilikan penuh PRefChem membolehkan Petronas meningkatkan lagi penyelarasan operasi dan fleksibiliti merentasi rantaian nilainya, sambil memanfaatkan rangkaian bekalan antarabangsa dan model operasi bersepadu bagi memastikan kebolehpercayaan operasi yang berterusan dalam pelbagai keadaan pasaran.

“Bagi Aramco pula, transaksi ini menyokong pengoptimuman strategik portfolio hilirannya serta memberikan fleksibiliti tambahan untuk meneruskan pelaburan yang selari dengan strategi perniagaan hiliran syarikat itu.

“Transaksi tersebut dimuktamadkan berdasarkan syarat yang dipersetujui bersama, mencerminkan perubahan keutamaan strategik kedua-dua pihak,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Petronas dan Aramco juga akan terus meneroka peluang kerjasama komersial selepas pemindahan itu, termasuk penyelarasan bekalan minyak mentah, pertukaran teknologi serta pengedaran produk bersepadu, berasaskan kerjasama erat yang telah terjalin sejak beberapa dekad lalu.

Kedua-dua syarikat turut menegaskan komitmen untuk terus mengekalkan kecemerlangan operasi serta menjana nilai mampan kepada pihak berkepentingan dan komuniti yang mereka berkhidmat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN