PETALING JAYA: Tindakan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengeluarkan kenyataan secara terbuka mengenai beberapa isu dalaman Perikatan Nasional (PN) dilihat sebagai petanda gabungan itu sedang berdepan krisis serius yang sukar diselesaikan.
Penganalisis Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. Sivamurugan Pandian berkata, pendekatan terbuka yang diambil Abdul Hadi menunjukkan saluran komunikasi dalaman antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkemungkinan sudah tidak lagi berkesan.
“Bila kenyataan itu dibuat secara terbuka, sudah pasti pendekatan lain sudah dianggap tidak dapat digunakan untuk berkomunikasi dengan Bersatu.
“Itu juga mungkin isyarat untuk menyatakan Perikatan Nasional sedang berada di dalam kedudukan yang getir, konflik dan krisis yang sukar untuk diselesaikan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau mengulas kenyataan Abdul Hadi yang sedang meneliti semula hubungan dan kerjasama politik dengan Bersatu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), termasuk kemungkinan bergerak tanpa parti itu sekiranya gagal mencapai kata sepakat.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, semua aspek melibatkan hubungan antara kedua-dua parti dalam PN dikaji secara menyeluruh berdasarkan pengalaman pilihan raya lalu.
Sivamurugan berkata, beberapa isu yang dibangkitkan Abdul Hadi melibatkan Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah menggambarkan Pas merasakan kedudukan parti itu dalam PN tidak lagi dihormati.
Katanya, kemasukan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) juga dipercayai menjadi antara faktor yang mempengaruhi pendirian Abdul Hadi.
“Sama ada Perikatan Nasional mampu bertahan atau tidak, saya rasakan ia sudah berada dalam kedudukan penghujung.
“Ia hanya dapat diselamatkan sekiranya kedua-dua pihak bersedia untuk berkompromi dan juga bersetuju atas soal prinsip. Jika itu tidak dapat dilakukan maka barangkali Pas akan keluar kerana PN bukan hanya melibatkan Pas dan Bersatu semata-mata, sebaliknya turut disertai oleh Gerakan (Parti Gerakan Rakyat Malaysia) dan MIPP (Parti Rakyat India Malaysia),” katanya.
Dalam perkembangan sama, Sivamurugan berkata, Pas dilihat masih selesa untuk bekerjasama dengan bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin kerana beliau pernah mendapat sokongan Pas ketika dilantik sebagai Ketua Pembangkang sebelum ini.
“Barangkali Tuan Guru (Abdul Hadi) masih selesa dengan Hamzah dan beranggapan walaupun sudah melakukan perubahan daripada segi pelantikan Ketua Pembangkang baharu, Hamzah juga adalah pasukan serpihan Bersatu.
“Beliau tidak boleh dipinggirkan kerana itu boleh membawa kepada perpecahan yang besar,” katanya.-UTUSAN










