PETALING JAYA: Beregu campuran negara, Jimmy Wong-Cheng Su Yin melakar kejutan besar ke atas jaguh No. 1 dunia, Feng Yang Zhe-Huang Dong Ping pada peringkat 32 terbaik Kejohanan Badminton Terbuka Singapura di Kallang, Singapura, hari ini.
Pasangan yang baru digandingkan bersama itu mencatat kemenangan ke atas wakil China tersebut menerusi keputusan straight set 23-21, 21-16 dalam masa 43 minit di Stadium Tertutup Singapura.
Jimmy-Su Yin melakukan penampilan sulung dalam kejohanan Super 750 itu sebagai beregu tanpa ranking dunia dan pada pusingan seterusnya mereka akan berdepan sama ada wakil India, Rohan Kapoor-G. Ruthvika Shivani atau Yang Po Hsuan-Hu Ling Fang dari Taiwan.
Su Yin berkata, kunci kepada kejayaan mereka, hari ini, adalah sikap sabar kerana biasanya berdepan pasangan handalan China itu bulu tangkis susah hendak ‘mati’.
“Jadi, saya cakap kita kena lagi sabar, main dekat belakang atau dekat depan, mesti kena sabar,” katanya ketika ditemu bual oleh wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan berakhir.
Ketika ditanya sama ada Su Yin ada berkongsi pengalaman dengan Jimmy pengalaman bertemu Yang Zhe-Dong Ping, pemain itu berkata, dia tidak memilih untuk berbuat demikian bagi mengelak tekanan ke atas pasangannya itu dan hanya fokus kepada permainan sendiri.
Jimmy pula memberitahu, dia gembira dengan kemenangan yang dicatat ke atas pilihan pertama tersebut, selepas tidak bermain baik sewaktu di Malaysia Masters, minggu lepas.
“Kami cuba lupakan kekalahan pada kejohanan pertama kami di laman sendiri dan kami cuba dapatkan kembali prestasi yang ditunjukkan sewaktu dalam sesi latihan, mujur kami berjaya,” ujarnya. – UTUSAN










