PARLIMEN: RUU Jenayah Siber dibentang Mac

PARLIMEN: RUU Jenayah Siber dibentang Mac

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber yang akan menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563) dijangka dibentangkan di Parlimen bulan hadapan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata,  jenayah penipuan dalam talian yang semakin meningkat amat membimbangkan apabila kerugian tahun lalu meningkat lebih 86 peratus daripada RM1.574 bilion pada 2024 kepada RM2.9 bilion.

Menurut beliau, RUU Jenayah Siber bertujuan menutup kelompangan undang-undang sedia ada, memperkasa penguatkuasaan, serta melindungi keselamatan siber negara dan hak pengguna di ruang digital.

“RUU ini mengambil pendekatan holistik dan terkini dengan merangkumi kedua-dua jenis jenayah siber, iaitu jenayah berbantu siber dan jenayah bersandarkan siber. RUU ini juga menekankan prinsip technology-neutral, selaras dengan Konvensyen Budapest dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya pada sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa penyalahgunaan teknologi baharu, termasuk kecerdasan buatan (AI) melalui kaedah seperti ‘deepfake’, memberi mudarat besar kepada mangsa dan berpotensi menjadi pemangkin utama peperangan maklumat.

“Konflik Russia-Ukraine membuktikan bahawa `deepfake’ dan maklumat palsu (MDM) sudah menjadi komponen utama peperangan maklumat, digunakan untuk membentuk persepsi, melemahkan moral, dan mempengaruhi sokongan antarabangsa. Pelbagai tindakan strategik sedang diambil bagi menangani ancaman ini secara komprehensif,” katanya.

Selain itu, beliau memaklumkan bahawa Akta Keselamatan Siber 2024 (Akta 854) yang berkuat kuasa pada 26 Ogos 2024, bertujuan memperkukuh ekosistem keselamatan siber negara melalui pelaksanaan fungsi keselamatan siber secara efektif.

“Keselamatan digital perlu dilihat sebagai elemen strategik bagi menjamin kestabilan negara dan melindungi kepentingan ekonomi serta sosial rakyat Malaysia. Jemaah Menteri juga telah bersetuju menubuhkan Pusat Pembangunan Keselamatan Siber dan Kriptologi (CSCDC) bagi memusatkan fungsi keselamatan siber dan kriptologi,” katanya.

Ahmad Zahid menambah, bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan digital negara, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang menyusun tindakan berkaitan teknologi AI, awan berdaulat (sovereign cloud) dan keselamatan pasca-kuantum (post-quantum security).

“Pelbagai inisiatif sedang dilaksanakan termasuk pembangunan Garis Panduan Keselamatan Siber AI berasaskan prinsip secure-by-design, meningkatkan keselamatan kriptologi dan kesiapsiagaan pasca-kuantum dengan kerjasama Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia (PTPKM),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN