PETALING JAYA: Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang tular menyalakan siren dan lampu pandu arah di sebuah lebuh raya baru-baru ini sebenarnya mempunyai kebenaran daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk penggunaan isyarat amaran tersebut.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya sudah mengenal pasti MPV berkenaan dan pemiliknya.
Semakan mendapati kenderaan itu digunakan untuk tugas rasmi sebuah kementerian dan penggunaan ‘beacon’ serta siren telah mendapat kelulusan daripada Ketua Pengarah JPJ.
“Penggunaan kenderaan berkenaan adalah sah kerana berada atas tugasan rasmi kementerian dan kelulusan JPJ diperoleh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Polis akan memanggil pemilik MPV untuk pemeriksaan lanjut dalam masa terdekat bagi memastikan semua peraturan dipatuhi.
Semalam, media melaporkan polis giat mengesan pemandu MPV yang dirakam membuka siren dan lampu pandu arah di laluan sesak. Nombor pendaftaran kenderaan dalam video tular tidak dapat dipastikan.
Video berdurasi satu minit tiga saat itu memaparkan MPV putih menyalakan siren seperti kenderaan polis, menarik perhatian orang ramai di lebuh raya tersebut. – UTUSAN










