ALOR SETAR: Media arus perdana perlu kekal relevan sebagai rujukan utama rakyat dalam penyaluran berita sahih di sebalik lambakan maklumat palsu di media sosial.
Setiausaha Politik Kanan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Romli Ishak berkata, penyampaian maklumat yang tepat dan berterusan mampu membentuk persepsi yang betul dalam kalangan rakyat terutama terhadap gerak kerja kerajaan.
“Hari ini, media sosial menjadi sumber utama maklumat, khususnya dalam kalangan anak muda. Masalahnya, ada platform yang tidak berdaftar dan tidak dikawal, menyebabkan fitnah serta maklumat tidak tepat mudah tersebar.
“Media arus perdana ini harus kekal relevan untuk membentuk persepsi yang betul serta mengelak orang ramai daripada terpengaruh dengan fitnah dan maklumat palsu yang berleluasa di media sosial.
“Media arus perdana perlu memenuhi ruang di media sosial supaya maklumat sahih dapat sampai kepada rakyat. Jika tidak, masyarakat akan terus terdedah kepada penipuan dan persepsi yang salah,” katanya pada majlis ramah mesra dengan pengamal media Kedah, di sini semalam.
Beliau yang juga Ketua Penerangan PKR Kedah berkata, maklumat kurang tepat di media sosial mempengaruhi persepsi rakyat terhadap kerajaan sehingga menyebabkan pelbagai inisiatif dan bantuan kerajaan tidak disedari oleh masyarakat.
Katanya, kerajaan melaksanakan lebih 170 inisiatif Madani melibatkan pelbagai bentuk bantuan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan bantuan awal persekolahan.
“Sebahagian besar rakyat tidak menyedari manfaat ini walhal Kerajaan Madani menyumbang kepada rakyat dan setiap lapisan masyarakat menerima manfaat. Namun, ramai yang tidak sedar kerana terlalu dipengaruhi maklumat di media sosial.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri pernah menyuarakan beliau telah melakukan pelbagai usaha, tetapi rakyat di bawah tidak tahu apa yang telah dibuat, ” katanya. – UTUSAN








