PETALING JAYA: Penantian terhadap keputusan rayuan tujuh pemain warisan Harimau Malaya dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dijangka diumumkan pada minggu depan apabila panel memerlukan masa tambahan untuk membuat pertimbangan.
Perkembangan itu disahkan sendiri jurucakap CAS, Vanessa yang menjelaskan keputusan tidak dapat diumumkan dalam tempoh terdekat seperti dijangkakan sebelum ini.
“Susulan sesi pendengaran hari ini, panel akan mengambil masa untuk membuat pertimbangan. Saya tidak dapat memberikan tempoh masa tepat bagi keputusan, namun keputusan awal (tanpa alasan penuh) dijangka diumumkan pada minggu depan.
“Memandangkan kes ini berprofil tinggi, satu kenyataan media akan dikeluarkan. Saya akan memaklumkan kepada anda sebaik sahaja ia diterbitkan,” katanya.
Menurut beliau, selepas keputusan awal diumumkan, alasan penuh penghakiman akan disediakan dan diserahkan kepada pihak terlibat pada satu tarikh kemudian.
“Sekiranya pihak berkenaan tidak meminta kerahsiaan, keputusan itu akan disiarkan di laman sesawang Mahkamah Timbang Tara Sukan,” jelasnya.
Sebagai rekod, kes ini bermula apabila FIFA mengenakan penggantungan 12 bulan terhadap tujuh pemain warisan Malaysia berikutan isu tertentu berkaitan peraturan kelayakan pemain.
Tujuh pemain tersebut melibatkan Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Susulan penggantungan itu, FAM telah mengemukakan rayuan ke CAS bagi mendapatkan keputusan yang lebih adil dan memberikan peluang kepada pemain untuk kembali beraksi.-UTUSAN










