SEREMBAN: Negeri Sembilan FC (NSFC) menghantar tiga orang pemain mudanya dan seorang jurulatih pembangunan bagi menjalani latihan dan percubaan di Jepun selama sebulan bermula hujung Februari ini.
Tiga pemain muda tersebut ialah Airiel Zafran Mohd Azrul, 20; Aqil Faris Shalahudun, 19, dan Adam Haris Hamizon, 21, akan menjalani
latihan bersama kelab J-League 3, Gainare Tottori.
Ketua jurulatih pasukan bawah-
20 tahun NSFC, Norhafiz Zamani Misbah turut serta dalam program berkenaan.
Pengerusi NSFC, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pendedahan dalam ekosistem bola sepak profesional Jepun mampu membuka minda pemain muda mengenai standard sebenar di peringkat lebih tinggi.
Kata beliau, inisiatif itu juga menjadi persiapan menghadpi temasya Sukan Malaysia (Sukma) tahun ini selain membuka peluang kepada pemain dinilai untuk potensi kontrak sekiranya memenuhi kriteria ditetapkan kelab berkenaan.
“Kita mahu pemain melihat sendiri bagaimana sesi latihan di sana, bagaimana kesungguhan mereka meningkatkan prestasi dari semasa ke semasa.
“Sebab itu kita pilih pemain berusia 21 tahun ke bawah supaya mereka dapat menilai tahap penguasaan diri sepanjang tempoh sebulan ini dan memperbaiki kelemahan yang ada,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Besar berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Aminuddin memaklumkan, pengurusan NSFC ketika ini belum terdesak untuk mengisi kekosongan jawatan ketua jurulatih baharu susulan perletakan jawatan Nidzam Jamil semalam.
Katanya, K. Rajan yang dilantik sebagai ketua jurulatih interim akan diberikan ruang dan masa bagi menilai corak permainan pasukan dalam beberapa perlawanan akan datang sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.
“Kita beri masa sehingga Mei depan. Sudah ramai yang beri senarai jurulatih tersedia, tetapi kita setakat ini belum terdesak.
“Kita mahu lihat dahulu perubahan dalam dua atau tiga perlawanan akan datang serta berkemungkinan ketua jurulatih interim ini akan kekal sehingga akhir musim ini,”katanya. – UTUSAN










