Wei Chong gadai risiko demi All England

Wei Chong gadai risiko demi All England

Man Wei Chong (kiri) dan Tee Kai Wun mahu beraksi di Kejohanan All England yang akan membuka tirai pada 3 Mac ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki negara, Man Wei Chong sanggup mengambil risiko besar untuk beraksi pada Kejohanan All England dari 3 hingga 8 Mac ini walaupun berdepan tiga kecederaan pada lutut kanan.

Wei Chong yang bergandingan dengan Tee Kai Wun dan kini menghuni ranking keenam dunia mendedahkan kecederaan tersebut membabitkan koyakan separa ligamen anterior cruciate (ACL), kerosakan meniskus serta kecederaan rawan selepas menjalani imbasan pengimejan resonans magnetic (MRI).

Meskipun berdepan kekangan fizikal, pasangan itu tetap mara ke suku akhir Terbuka Malaysia, Terbuka India dan Indonesia Masters pada Januari lalu, sekali gus membuktikan daya tahan mereka masih kompetitif di pentas tertinggi.

“ACL itu koyak sedikit sahaja, tetapi yang paling serius ialah meniskus dan ada juga kecederaan rawan.

“Dua minggu sebelum Tahun Baharu Cina saya ambil suntikan PRP, jadi sekarang ini semakin baik tetapi belum pulih sepenuhnya,” kata Wei Chong selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam.

Wei Chong kini menjalani proses pemulihan di bawah pemantauan rapi pasukan perubatan Institut Sukan Negara (ISN) dan hanya kembali menjalani latihan gelanggang minggu ini selepas dua minggu memberi tumpuan kepada latihan gimnasium.

“Memang dua minggu sebelum ini saya tidak banyak berlatih di gelanggang, hanya di gim kerana masih dalam proses pemulihan, tetapi minggu ini saya sudah tambah latihan di gelanggang dan rasa semakin baik,” katanya.

Walaupun belum berada pada tahap kecergasan optimum, Wei Chong menegaskan keputusan untuk tetap ke Birmingham dibuat selepas perbincangan bersama fisioterapi dan doktor ISN kerana beliau enggan memperlahankan momentum selagi masih berpeluang untuk beraksi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×