Keputusan CAS bukan talian terakhir FAM

Keputusan CAS bukan talian terakhir FAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) bukan talian hayat terakhir buat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memandangkan ia masih boleh dicabar.

Ini kerana FAM masih boleh membawa kes berkenaan ke Tribunal Persekutuan Swiss (SFT) yang juga mahkamah tertinggi Switzerland jika berhasrat mencabar keputusan CAS kelak.

Begitupun, laluan tersebut sangat terhad dan hanya melibatkan semakan terhadap aspek prosedur undang-undang, bukannya menilai semula fakta kes dan berdasarkan statistik hanya enam peratus daripada CAS dibawa ke SFT.

“Rujukan ke SFT bukan kepada merit kes tetapi kepada isu-isu prosedur dan undang-undang. Ini bermakna, apa-apa isu mengenai fakta-fakta kes tidak boleh dibawa ke SFT.

“Antara perkara yang boleh dibawa adalah isu bidang kuasa CAS untuk mendengar CAS ataupun CAS melebihi kuasa dan hukuman yang dibenarkan.

“Selain itu, perkara lain termasuklah berlaku ketidakadilan semasa pendengaran CAS contohnya tidak diberi peluang berhujah. Rujukan juga boleh dibuat jika hukuman adalah bertentangan dengan polisi awam,” kata peguam sukan, Nik Erman Nik Roseli.

Terdahulu, perbicaraan berhubung kes berkenaan dijangka akan berlangsung di CAS, hari ini, dan keputusan selepas itu akan menentukan hala tuju FAM serta masa depan karier tujuh pemain warisan negara.

Pada September lalu, Jawatankuasa Tatatertib FIFA mengenakan hukuman penggantungan 12 bulan terhadap tujuh pemain warisan iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel atas dakwaan pemalsuan dokumen.

Selain digantung, pemain terbabit turut didenda CHF 2,000 (RM10,411) setiap seorang, manakala FAM pula dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta).

Jawatankuasa Rayuan FIFA menolak rayuan daripada FAM dan tujuh pemain terbabit, sekali gus hukuman yang dikenakan oleh Jawatankuasa Tatatertib badan induk bola sepak dunia itu kekal.

Bagaimanapun, tujuh pemain itu telah diberikan penangguhan hukuman buat sementara waktu oleh CAS dan mereka sudah kembali beraksi bersama kelab masing-masing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN