PETALING JAYA: Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John berpandangan, peluang Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan untuk memenangi kes pemalsuan dokumen itu disifatkan 50-50.
Jelas Windsor, berdasarkan pengalamannya sepanjang bersama AFC sejak 2015,, penangguhan hukuman yang sebelum ini diberikan CAS jarang berlaku dan ia boleh dianggap petanda positif kepada kes berkenaan.
“Kalau kita lihat, penangguhan ini biasanya susah nak dapat sebab had yang ditetapkan sangat tinggi. Jadi peluang kini 50-50 untuk menang sebab berdasarkan pengalaman kami di AFC, semua kes yang diputuskan AFC, sesiapa sahaja yang membawanya ke CAS, yang meminta perintah penangguhan, semuanya kalah, tak pernah dapat.
“Itu yang berlaku sepanjang saya menjadi Setiausaha Agung sejak 2015, tidak pernah ada satu kes di mana pihak tertuduh mendapat penangguhan.
“Seperti yang saya katakan tadi, penangguhan ini merupakan satu perkara positif untuk pemain-pemain ini. Tetapi, ia bukan bermakna mereka sudah menang. Ia 50-50 kerana sewaktu mendapat penangguhan itu, FIFA masih belum memberikan hujah mereka,” katanya.
Proses di CAS iaitu perbicaraan semula yang menilai fakta dan undang-undang dari awal dan ini memberi ruang kepada kedua-dua pihak mengemukakan hujah tambahan sebelum keputusan muktamad dibuat.
Ketika ditanya mengenai status skuad kebangsaan di kelayakan Piala Asia 2027, Windsor mengesahkan pihaknya perlu menunggu terlebih dahulu sebelum membuat keputusan muktamad mengenai kemenangan skuad kendalian Peter Cklamovski itu.
“Tunggu keputusan akhir daripada CAS selepas itu AFC akan lihat implikasinya mengikut peraturan ditetapkan,” jelas Windsor. – UTUSAN










