Kekacauan di Mexico: Tiada rakyat Malaysia terjejas

Kekacauan di Mexico: Tiada rakyat Malaysia terjejas

WISMA PUTRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada rakyat Malaysia yang terjejas akibat kekacauan di beberapa buah negeri di Mexico.

Wisma Putra berkata, pihaknya sedang memantau rapi gelombang keganasan yang berlaku di beberapa negeri termasuk Jalisco, Colima, Michoacan, Nayarit, Guanajuato, dan Tamaulipas, menerusi Kedutaan Besar Malaysia di Mexico City.

“Kementerian ingin mengesahkan bahawa, setakat laporan terbaharu, tiada rakyat Malaysia yang terkesan akibat kekacauan itu.

“Rakyat Malaysia yang menetap atau sedang melancong ke Mexico dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, mengelakkan perhimpunan awam, dan mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kekacauan di Mexico itu dipercayai selepas tentera mengumumkan mereka telah membunuh ketua kartel dadah berpengaruh, Nemesio Oseguera Cervantes, dalam satu operasi yang mencetuskan gelombang keganasan di beberapa bahagian negara itu.

Oseguera, 59, pemimpin Jalisco New Generation Cartel, cedera dalam pertempuran dengan tentera di pekan Tapalpa, negeri Jalisco, dan meninggal dunia ketika diterbangkan ke Mexico City, menurut kenyataan tentera.

Lelaki bersenjata yang bertindak balas terhadap serbuan itu menyekat lebih 20 jalan di barat negeri Jalisco, termasuk Tapalpa, dengan membakar kereta dan lori. Keganasan turut merebak ke beberapa negeri lain.

Wisma Putra berkata, rakyat Malaysia digalakkan untuk mendaftarkan keberadaan mereka melalui E-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my bagi memudahkan komunikasi dan bantuan tepat pada masanya.

“Untuk bantuan konsul, rakyat Malaysia boleh menghubungi kedutaan di talian +52 55 5282 4656 / +52 55 5282 5166, atau melalui e-mel di [email protected]/[email protected].

“Kami akan terus memantau perkembangan di sana dengan teliti dan menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN