KANGAR: Sumber bekalan air di Perlis khususnya untuk kegunaan domestik dan pertanian masih mencukupi meskipun negeri ini sudah merekodkan hampir 40 hari tanpa hujan.
Cuaca panas dan kering mencecah 34 darjah celsius itu dijangka berlarutan sehingga Mac.
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, bekalan air di Perlis berada pada tahap terkawal walaupun cuaca panas terus berlarutan.
Katanya, ketika ini, paras air di empangan Timah Tasoh masih berada dalam keadaan selamat yang belum sampai ke tahap membimbangkan.
“Meskipun tiada hujan dalam tempoh sebulan lagi, bekalan air masih mampu ditampung. Kerajaan negeri bersama agensi berkaitan juga sentiasa memantau trend paras air empangan bagi memastikan bekalan kepada pengguna tidak terjejas,” katanya di sini semalam.
Situasi air di Empangan Timah Tasoh ketika ini berada pada paras 28 meter iaitu berkurangan berbanding paras air normal di empangan tersebut yang sepatutnya sekitar 29.1 meter, namun keadaan itu masih terkawal.
Ia belum melepasi paras kritikal iaitu 26 meter.
Abu Bakar berkata, kerajaan negeri dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) serta Jabatan Pertanian terus bekerjasama bagi memastikan penyaluran air kepada sektor pertanian berjalan lancar.
Katanya, penyaluran air kepada sektor pertanian itu tidak menjejaskan bekalan domestik.
“Keperluan air ketika ini meningkat terutama untuk sektor pertanian tanaman padi yang memerlukan bekalan air berterusan. Dalam masa sama, terdapat tanaman tertentu seperti harumanis yang tidak memerlukan air berlebihan dan memerlukan cuaca kering semasa tempoh pembungaan.
“Oleh itu, pengurusan air perlu diselaraskan mengikut keperluan semasa,” katanya. – UTUSAN










