Dua beradik, bapa saudara maut kereta bertembung lori

Dua beradik, bapa saudara maut kereta bertembung lori

ANGGOTA bomba membantu dalam operasi mengeluarkan mangsa kemalangan maut di Kilometer 25, Batu 16 Hutan Melintang-Bagan Datuk, Bagan Datuk semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Dua beradik bersama bapa saudara maut selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 25, Batu 16 Hutan Melintang-Bagan Datuk di sini semalam.

Dalam kejadian sekitar pukul 2.30 petang itu, Muhammad Adam Rifqi Mohd Fairuz, 12, maut di tempat kejadian manakala adik perempuannya, Nur Aadimiyya Rifqina, 6, disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Sungai Sumun.

Turut terkorban dalam nahas tersebut ialah pemandu kereta jenis Kia iaitu bapa saudara kanak-kanak itu, Muhammad Nashrul Zainal Anuar, 26, meninggal dunia di Wad Kecemasan Hospital Teluk Intan.

Difahamkan, tiga lagi ahli keluarga yang berada dalam kenderaan sama termasuk seorang bayi perempuan berusia enam bulan mengalami kecederaan parah.

Kejadian dikatakan berlaku ketika enam sekeluarga itu dalam perjalanan pulang ke kampung di Bagan Datuk.

Sementara itu, seorang waris mangsa, Nur Ain Ahmad Zamri, 28, ketika dihubungi, memohon saksi kemalangan untuk tampil berkongsi maklumat bagi membantu siasatan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) berkaitan kemalangan itu juga diminta tampil menyerahkan video berkenaan kepada Balai Polis Hutan Melintang bagi membantu siasatan.

“Saya minta mana-mana individu atau saksi kemalangan yang berada di lokasi kejadian untuk kongsikan apa-apa maklumat kepada pihak polis.

“Sejak semalam, tiada pihak yang tampil memaklumkan kejadian sebenar dan kami hanya dengar orang bercakap, tidak tahu mana yang betul,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bagan Datuk, Superintenden Mohammad Ali Mohd Jali ketika dihubungi memaklumkan kenyataan media akan dikeluarkan dalam masa terdekat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN