KOTA TINGGI: Dua lelaki tempatan bersama seorang wanita warga asing maut selepas ditembak dalam satu kejadian yang berlaku di sebuah restoran di sekitar bandar ini, petang tadi.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, ketiga-tiga mangsa berusia lingkungan 37 hingga 63 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Katanya, pihaknya menerima laporan berhubung insiden tersebut sebelum sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi bersama Bahagian D9 Siasatan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor digerakkan ke lokasi.
“Bertindak atas maklumat, seorang lelaki warga tempatan berumur 71 tahun berjaya ditahan kira-kira pukul 2 petang di kawasan kira-kira 200 meter dari tempat kejadian.
“Polis turut merampas selaras senjata api jenis shotgun buatan Benelli M/Super dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan memiliki lesen senjata api yang sah.
Ab Rahaman berkata, senjata api yang dimiliki suspek mempunyai kelulusan lesen yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, warga emas itu mempunyai tanah pertanian yang melayakan suspek untuk memiliki senjata api dan lesen tersebut dikeluarkan untuk menjaga tanaman bukan untuk tujuan lain.
“Setakat ini, motif kejadian masih dalam siasatan. Bagaimanapun, siasatan awal mendapati kes ini tidak melibatkan unsur kongsi gelap atau keganasan.
“Polis tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada masalah hutang peribadi,” katanya.
Tambahnya, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Kota Tinggi esok.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan, selain diminta menyalurkan maklumat kepada balai polis berhampiran atau menghubungi talian hotline Polis Johor,” katanya. – UTUSAN










