KUALA LUMPUR: Bayaran kad kredit korporat UKMShape berjumlah RM107,907 didapati dibuat kepada enam individu yang tidak layak.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, audit mendapati individu terbabit tidak layak kerana tiada maklumat seperti nombor pekerja atau tiada rekod dalam sistem maklumat kakitangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Kad kredit berkenaan digunakan untuk perbelanjaan tiket kapal terbang, hotel dan lain-lain tujuan ke luar negara sepanjang 2024 tanpa bukti perbelanjaan rasmi.
“Semakan audit mendapati penggunaan kad kredit UKMShape tidak mempunyai kelulusan rasmi daripada Jawatankuasa Tetap Kewangan (JKTK),” kata laporan itu.
Menurut laporan berkenaan, garis panduan penggunaan kad kredit korporat UKM menetapkan Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang memerlukan kemudahan itu perlu mendapatkan kelulusan daripada JKTK.
Katanya, permohonan bertulis beserta justifikasi perlu dikemukakan kepada bendahari dan disertakan kertas kerja bagi mendapatkan kelulusan JKTK.
“PTJ atau pegawai yang layak menerima kad kredit korporat universiti adalah berdasarkan kelulusan JKTK sahaja. Penggunaan kad kredit korporat hanya dibenarkan untuk perbelanjaan rasmi yang diluluskan.
“Kad kredit tidak boleh digunakan untuk tujuan peribadi sama ada oleh pemegang kad atau pihak lain.
“Sebarang penambahan kad kredit atau had kredit hendaklah dikemukakan kepada bendahari untuk dibawa semula ke JKTK bersama justifikasi lengkap,” kata laporan itu.
Menurut maklum balas UKM bertarikh 22 Januari lalu, pengurusan Jabatan Bendahari telah memastikan tiada penurunan kuasa kewangan dan kemudahan kad kredit diberikan hanya kepada Pengarah UKMShape yang baharu.
“Berhubung bayaran kepada enam individu terbabit, UKM memaklumkan mereka adalah kakitangan kontrak yang tidak dilantik mengikut proses sah.
“Status semua individu terbabit ialah seorang telah berhenti pada 25 Julai 2025, seorang tamat kontrak pada 1 Jun 2025, dua tidak dapat dikesan sejak Oktober 2025 dan dua tiada maklumat,” kata universiti itu. – UTUSAN










