KUALA LUMPUR: Kira-kira RM28.13 juta perbelanjaan Projek Pembangunan MyDigital ID (Projek MyDID) dibuat tanpa kelulusan jawatankuasa yang ditetapkan oleh agensi pelaksana iaitu MIMOS Berhad.
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini mendedahkan, beberapa kelemahan serius dalam aspek perbelanjaan dan kawalan dalaman semasa pelaksanaan awal projek berkenaan di bawah pengurusan MIMOS Berhad.
Menurut laporan itu, struktur tadbir urus projek tidak berfungsi sebagaimana ditetapkan, termasuk ketiadaan pembentangan rasmi mengenai kelulusan perbelanjaan dan status pelaksanaan projek dalam mesyuarat yang sepatutnya menjadi platform pemantauan.
“Dari sudut kewangan, sejumlah RM28.13 juta dibelanjakan tanpa kelulusan jawatankuasa ditetapkan.
“Jumlah itu merangkumi 11 sub-skop projek yang dibelanjakan tanpa atau melebihi penyaluran peruntukan berjumlah RM4.08 juta serta perbelanjaan melebihi kos bagi satu sub-skop sebanyak RM70,000.
“Keadaan itu menunjukkan ketidakpatuhan jelas terhadap struktur kos projek dan syarat yang dipersetujui,” kata laporan itu.
Selain itu, LKAN turut mengesahkan perbelanjaan berjumlah RM14.09 juta membabitkan kos sumber, emolumen, kemudahan perubatan kakitangan dan kelengkapan pejabat dibayar menggunakan dana pembangunan.
Daripada jumlah itu, RM13.10 juta atau 93 peratus adalah untuk bayaran emolumen manakala RM0.85 juta bagi kos sumber, sekali gus bertentangan dengan Garis Panduan Pelaksanaan Projek Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang tidak membenarkan emolumen dan perolehan kelengkapan pejabat dibiayai melalui peruntukan pembangunan.
Laporan itu juga mendapati, pembelian peralatan Certificate Authority bernilai RM79,000 dibuat tanpa kelulusan Makmal Kajian Nilai dan peralatan tersebut tidak digunakan yang menyebabkan pembaziran dan mencerminkan kelemahan kawalan aset.
“Sebagai Ahli Lembaga Pengarah, wakil MIMOS hendaklah melaksanakan kuasa dan tanggungjawab fidusiari dengan memastikan setiap proses tadbir urus dan kawalan dalaman dipatuhi bagi menjamin kepentingan terbaik Projek MyDID sentiasa terpelihara.
“Ini termasuk memastikan pematuhan terhadap syarat yang dikenakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) kepada pengurusan My Digital ID Sdn. Bhd. (MYDIDSB) agar segala ketetapan dipatuhi sepenuhnya,” kata laporan itu.
Sehubungan itu, LKAN mengemukakan beberapa syor penambahbaikan bagi mengelakkan kelemahan sama berulang pada masa hadapan.
“Antaranya, pihak pengurusan perlu memastikan semua perbelanjaan projek dilaksanakan dengan kelulusan jawatankuasa berkaitan serta mematuhi struktur kos dan tujuan peruntukan yang telah diluluskan, termasuk pematuhan kepada garis panduan RMK-12.
“Selain itu, tadbir urus Geran Pembangunan perlu diperkasakan bagi memastikan setiap keputusan berkaitan peruntukan, pelaksanaan projek dan perolehan dibuat secara telus, berakauntabiliti serta berpandukan peraturan sedia ada,” katanya. – UTUSAN










