MyDigital ID mampu kekang penipuan

MyDigital ID mampu kekang penipuan

RUSDI MOHD. ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penggunaan sistem MyDigital ID secara menyeluruh terutama dalam urusan perbankan mampu mengekang berlakunya jenayah penipuan dan penyalahgunaan data peribadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, ciri-ciri keselamatan sistem itu sukar ditiru, selain memperkukuh proses pengesahan identiti pengguna.

Katanya, polis telah mengadakan dua sesi libat urus dengan MyDigital ID dan yakin penggunaan platform itu secara menyeluruh mampu menghalang kegiatan penipuan.

“Kita percaya apabila menggunakan MyDigital ID sepenuhnya, ia akan menjadi salah satu yang boleh menghalang penipuan daripada berlaku.

“Kita percaya MyDigital ID ini akan digunakan sepenuhnya dalam setiap urusan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Acara Penghargaan Bank Heroes #JanganKenaScam 2026 di Taman Tun Dr. Ismail di sini, hari ini.

Mengulas kebimbangan mengenai kebocoran maklumat pengguna, Rusdi berkata, MyDigital ID dilengkapi pelbagai ciri keselamatan yang mampu mengurangkan risiko pemalsuan identiti.

“Jika kita melihat kepada MyDigital ID, ia dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan yang diyakini sukar untuk ditiru. Ini sekali gus mampu membantu mencegah kegiatan penipuan.

“Kita telah mengadakan sesi libat urus dan pada masa ini usaha sedang dipergiatkan bagi memastikan penggunaan My Digital ID dapat diperluaskan dalam urusan perbankan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Pasukan Petugas Kebangsaan untuk Membanteras Penipuan, Syed Ahmad Taufik Albar berkata, sebarang platform yang mampu meningkatkan proses kenali pelanggan anda (KYC) dan pengesahan identiti pengguna akan membantu usaha membanteras penipuan.

Jelasnya, penggunaan MyDigital ID memberi manfaat lebih besar apabila diintegrasikan sepenuhnya dengan sistem KYC perbankan.

“Bagaimanapun, tiada garis masa khusus berhubung pelaksanaan itu kerana setiap bank mempunyai titik permulaan dan perancangan tersendiri dalam mengadaptasi MyDigital ID serta meneroka lebih banyak kes penggunaannya bagi mencegah penipuan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN