PARLIMEN: RM50.74 juta yuran program SPEND, DPLI UKM dikutip pihak tidak diberi kuasa

PARLIMEN: RM50.74 juta yuran program SPEND, DPLI UKM dikutip pihak tidak diberi kuasa

Universiti Kebangsaan Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 mendedahkan ketidakaturan serius dalam pengurusan kutipan hasil yuran pelajar dan perbelanjaan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi tahun kewangan 2024.

Menurut LKAN 1/2026 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, kutipan yuran pelajar berjumlah RM50.74 juta bagi program Sarjana Pendidikan (SPEND) dan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) di UKM didapati telah dibuat oleh pihak yang tidak diberi kuasa.

Hasil yuran pelajar bagi SPEND dan DPLI pada 2024 yang sepatutnya diakaunkan dan dikutip adalah berjumlah RM60.77 juta. Ia melibatkan dua kohort SPEND dan empat kohort DPLI bagi pelajar yang mendaftar pada tahun tersebut sahaja.

Berdasarkan surat tawaran yang dikeluarkan oleh UKM, daripada jumlah itu, yuran pelajar SPEND adalah berjumlah RM4.50 juta melibatkan 787 pelajar, manakala DPLI berjumlah RM56.27 juta melibatkan 16,406 pelajar bersamaan dengan invois yang dikeluarkan oleh Koperasi B-5-1788.

“Bagaimanapun, sejumlah RM50.74 juta daripada jumlah keseluruhan tersebut telah dikutip oleh Koperasi B-5-1788, manakala RM2.43 juta dikutip oleh UKM dan RM7.60 juta masih belum dibayar oleh pelajar.

“Semakan audit terhadap kutipan hasil yuran bagi SPEND dan DPLI mendapati kutipan berjumlah RM50.74 juta itu merangkumi SPEND sebanyak RM3.53 juta dan DPLI berjumlah RM47.21 juta dibuat oleh Koperasi B-5-1788 yang tidak diberi perwakilan kuasa melalui surat cara bertulis untuk mengutip yuran pelajar selaras dengan Perlembagaan UKM,” kata laporan itu.

Selain itu, perjanjian kerjasama bagi SPEND dan DPLI yang ditandatangani pada 15 Jun 2023 didapati tidak mendapat kelulusan daripada Menteri Kewangan sebagaimana ditetapkan dalam Perlembagaan UKM.

Perjanjian tersebut hanya diluluskan di peringkat Mesyuarat Pengurusan Universiti (MPU) dan ditandatangani oleh bekas Naib Canselor UKM yang tidak mempunyai mandat atau kuasa di bawah Perlembagaan UKM untuk meluluskan perjanjian sedemikian.

Dalam pada itu, hasil yuran pelajar berjumlah RM32.36 juta yang diagihkan kepada Koperasi B-5-1788 termasuk RM0.87 juta yang diterima oleh UKM melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan eKewangan tidak direkodkan sebagai hasil yuran pelajar UKM.

“Agihan yuran yang dikutip daripada pelajar SPEND dan DPLI oleh Koperasi B-5-1788 berjumlah RM21.02 juta pula lewat diserahkan kepada pihak UKM antara 31 hingga 291 hari.

“Selain itu, sejumlah RM5.32 juta yuran pelajar masih belum diserahkan kepada UKM setakat 31 Disember 2024 di antara satu hingga melebihi tiga tahun.

“Audit turut mendapati wujud konflik kepentingan dalam pengurusan SPEND dan DPLI apabila lima pegawai UKM memegang jawatan penting di dalam Koperasi B-5-1788 sebagai Pengerusi, Setiausaha, Bendahari dan Ahli Lembaga Koperasi,” kata laporan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN