KUALA LUMPUR: Empat daripada 513 syarikat kerajaan didapati menjalankan aktiviti yang tidak selaras atau tidak sepenuhnya selaras dengan perlembagaan syarikat.
Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026, syarikat terbabit adalah Go Energy Sdn Bhd, UiTM Energy & Facilities Sdn Bhd, TEKUN Nasional dan Studios Film Office Sdn. Bhd.
“Laporan itu mendapati sebanyak 59 syarikat tidak menyediakan pelan strategik manakala sembilan syarikat menyediakan pelan tetapi tidak selaras dengan objektif penubuhannya.
“Sebanyak 62 syarikat juga tidak menyediakan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sebagai amalan terbaik dalam memastikan pencapaian hala tuju ditetapkan,” kata laporan itu.
Daripada aspek tadbir urus, LKAN mendedahkan sebanyak 165 daripada 401 syarikat Persekutuan masih tidak mengamalkan saranan berkaitan komposisi Lembaga Pengarah termasuk keperluan penglibatan pengarah bebas sekurang-kurangnya satu pertiga daripada Ahli Lembaga Pengarah (ALP) seperti yang dinyatakan dalam Arahan Perdana Menteri.
Kelemahan ini boleh menjejaskan keupayaan Lembaga Pengarah untuk melaksanakan pengawasan secara bebas dan objektif.
Dalam aspek prestasi kewangan, 13 Syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD), termasuk subsidiari tidak membayar dividen walaupun mencatatkan keuntungan pada 2022 dan 2023, mempunyai keuntungan terkumpul pada 2023 serta nisbah semasa dan solvensi pada kadar sama dengan atau lebih daripada satu bagi 2023.
Pada masa sama, 134 syarikat Persekutuan membuat pembayaran dividen berjumlah RM82.22 bilion pada 2022. Bilangan itu meningkat kepada 145 syarikat pada 2023, dengan jumlah dividen sebanyak RM77.73 bilion.
“Daripada jumlah ini, sebanyak 15 syarikat pada 2022 dan 16 syarikat pada 2023 membayar dividen terus kepada Kerajaan Persekutuan, masing-masing berjumlah RM50.77 bilion pada 2022 dan RM43.279 bilion pada 2023.
“Sebahagian besar dividen kepada Kerajaan Persekutuan disumbangkan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) iaitu RM50 bilion pada 2022 dan RM40 bilion pada 2023,” kata laporan itu. – UTUSAN










