MELAKA: TEKUN Nasional akan melaksanakan projek rintis bagi mempercepatkan kelulusan pembiayaan di bawah RM20,000 kepada tempoh hanya 24 jam, khusus bagi membantu usahawan mikro dan perniagaan kecil yang memerlukan modal pusingan dengan segera.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim Chee Keong berkata, inisiatif tersebut sedang diuji sebelum dilaksanakan sepenuhnya dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang.
Menurut beliau, langkah itu sebahagian daripada usaha kerajaan mempercepatkan penyampaian perkhidmatan kepada golongan usahawan serta mengurangkan kerenah birokrasi dalam proses permohonan pembiayaan.
“Bagi pembiayaan di bawah RM20,000, TEKUN sedang melaksanakan projek rintis dan sasaran kita adalah untuk memproses permohonan dalam tempoh 24 jam dan bukan lagi satu tempoh yang agak panjang.
“Ini bagi membantu usahawan mikro dan perniagaan kecil yang memerlukan modal pusingan dengan segera untuk meneruskan operasi dan mengembangkan perniagaan mereka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) Peringkat Negeri Melaka dan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Peringkat Kebangsaan di Morten Walk, di sini hari ini.
Majlis penutupan disempurnakan Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yasin.
Pada majlis yang sama, Steven Sim turut mengumumkan bahawa permohonan pembiayaan TEKUN sehingga RM100,000 kini boleh diproses dan diluluskan dalam tempoh tujuh hari.
Selain itu, katanya, SME Bank dan Bank Rakyat turut komited memproses serta memberikan keputusan bagi permohonan pembiayaan sehingga RM1 juta dalam tempoh 14 hari.
Menurut beliau, pelancaran Portal TEKUN Nasional merupakan satu lagi langkah penting dalam agenda ABCD KUSKOP, khususnya di bawah teras Birokrasi Dipermudahkan, selain memperkukuh agenda pendigitalan perkhidmatan TEKUN Nasional.
Katanya, portal berkenaan dibangunkan sebagai platform digital sehenti yang membolehkan usahawan mendapatkan maklumat pembiayaan, membuat permohonan secara dalam talian, menyemak status permohonan, mengakses maklumat program dan latihan keusahawanan serta mendapatkan maklumat berkaitan pejabat TEKUN di seluruh negara.
“Terkini usahawan tidak lagi perlu ke pejabat untuk membuat permohonan pembiayaan sebaliknya boleh memohon menerusi portal yang telah dilancarkan hari ini,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, sehingga 31 Mei 2026, KUSKOP telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM92 juta kepada lebih 4,300 usahawan di Melaka melalui pelbagai agensi di bawah kementerian ini.
“Di peringkat nasional pula, setakat 31 Mei 2026, KUSKOP telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM5 bilion yang memanfaatkan lebih 180,000 perusahaan di seluruh negara,” katanya.
Kata beliau, menerusi inisiatif PowerUp10K, KUSKOP menyasarkan penyaluran pembiayaan berjumlah RM15 bilion kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh negara pada tahun ini. – UTUSAN










