Aniq enggan lepas takhta Komanwel

Aniq enggan lepas takhta Komanwel

Pemenang Anugerah Olahragawan MASUM Tahun 2023 dan 2024, Mohammad Aniq Kasdan bersama trofi pada Anugerah Sukan MASUM 2023-2024 di Kementerian Pengajian Tinggi, di sini, hari ini. GAMBAR : FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Badang negara, Mohamad Aniq Kasdan melaungkan amaran awal apabila tekad mempertahankan pingat emas pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 pada Julai ini.

 

Perjalanan atlet Segamat, Johor itu ke Scotland bukan mudah apabila dia terpaksa bangkit daripada kecederaan tendon bahagian hadapan lengan kanan yang menjejaskan prestasinya sepanjang musim lalu sebelum kembali pulih sepenuhnya menjelang Sukan SEA Thailand 2025, pada Disember.

 

“Sasaran saya untuk Komanwel adalah mempertahankan pingat emas, kemudian fokus ke Sukan Asia dan seterusnya ke kejohanan pertama kelayakan Olimpik di Ningbo pada November nanti,” kata Aniq.

 

Demikian kata Aniq selepas Anugerah Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) yang berlangsung di Putrajaya menyaksikan beliau dinobatkan sebagai Olahragawan bagi tahun 2023 dan 2024.

 

Pengiktirafan itu hadir susulan kejayaannya meraih pingat gangsa pada Kejohanan Angkat Berat Dunia 2023 serta menamatkan saingan di tempat keempat pada Sukan Olimpik Paris 2024, sekali gus melayakkannya menerima wang tunai RM6,000 selaku Olahragawan pada dua edisi.

 

Dalam masa sama, pelajar semester kelima Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan di UiTM Shah Alam itu turut berdepan cabaran beralih ke kategori 61 kilogram (kg) bagi kelayakan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 memandangkan kategori 55kg tidak dipertandingkan.

 

Bagaimanapun, beliau tidak gusar kerana pernah beraksi dalam kategori sama pada Sukan Olimpik Paris 2024 yang menyaksikan penampilan sulungnya di temasya itu berakhir dengan kedudukan keempat.

 

“Untuk kelayakan itu, saya sudah buat persiapan sejak tahun lalu dan kembali meningkatkan intensiti latihan awal tahun ini kerana saya perlu naik ke kategori berbeza.

 

“Ada rasa gusar, tetapi saya cuba usaha dulu kerana dalam masa sama saya perlu tambah jumlah angkatan dan berat badan, namun saya yakin ia tidak mustahil sebab saya pernah lakukannya sebelum ini,” katanya.

 

Untuk rekod, Aniq melakar sejarah apabila menghadiahkan emas pertama Malaysia pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 selepas mengungguli kategori 55kg lelaki dengan jumlah angkatan 249kg sekali gus memecahkan rekod temasya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN