NARATHIWAT (THAILAND): Empat anggota Pasukan Petugas Renjer 49 termasuk komander berpangkat leftenan parah selepas diserang hendap kumpulan bersenjata dalam satu pertempuran di Kampung Ban Ai So, Mukim Chang Phueak di Daerah Chanae, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, pasukan tersebut diserang sekumpulan lelaki bersenjata semasa melakukan rondaan rutin.
Sumber Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, serangan mengejut itu menyebabkan berlaku insiden berbalas tembakan selama beberapa minit antara kedua-dua pihak.
Katanya, susulan itu semua individu terbabit dibawa ke Hospital Daerah Chanae untuk rawatan lanjut.
“Kita tidak menolak kemungkinan serangan tersebut didalangi kumpulan pemisah yang aktif di wilayah ini (Selatan Thailand).
“Siasatan menyeluruh sedang dijalankan termasuk kemungkinan wujudnya kebocoran maklumat pergerakan pasukan keselamatan sehingga membolehkan serang hendap dirancang rapi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sumber memberitahu, Chanae bakal diletakkan di bawah Dekri Darurat selama tiga bulan bermula 20 April ini setelah penilaian keselamatan mendapati terdapat ancaman dan keganasan di daerah berkenaan.
Katanya, mengikut Dekri Darura, pihak berkuasa keselamatan mempunyai kuasa penuh dari segi undang-undang untuk menahan suspek sehingga 30 hari dengan kebenaran mahkamah, menjalankan penggeledahan, merampas aset dan mencegah insiden keganasan di kawasan berkenaan. – UTUSAN










