USM tubuh Credentia, perkukuh pendidikan fleksibel

USM tubuh Credentia, perkukuh pendidikan fleksibel

ABDUL RAHMAN MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) menubuhkan Unit Pendidikan Fleksibel dan Pentauliahan (Credentia) sebagai pelengkap kepada ekosistem micro-credential (program jangka pendek) sedia ada serta mekanisme pentauliahan mikro bagi pendidikan laluan fleksibel.

Naib Canselor USM, Prof. Datuk Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, penubuhan Credentia sejajar dengan hala tuju Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang meletakkan pembelajaran sepanjang hayat sebagai teras kepada pembangunan sistem pendidikan tinggi yang inklusif, fleksibel dan berorientasikan masa hadapan.

“Selain berfungsi sebagai unit penyelaras bagi menyokong pelaksanaan pembelajaran sepanjang hayat secara sistematik di peringkat universiti, Credentia turut bertanggungjawab dalam mengurus penganugerahan Malaysia Micro-credential Statement (MMS) yang membolehkan pemindahan kredit akademik serta pengiktirafan pembelajaran terdahulu,” katanya hari ini.

Abdul Rahman berkata, penubuhan Credentia juga mencerminkan komitmen menginstitusikan pendidikan fleksibel sebagai sebahagian daripada ekosistem nasional dan bukan sekadar inisiatif terpencil.

Katanya, melalui Credentia, USM juga sedang membangunkan Micro-Credential Credit Bank System (MCCBS) sebagai sistem pentadbiran dan pengurusan kredit yang menyokong pengumpulan, penggabungan serta pemindahan kredit micro-credential ke arah kelayakan lebih tinggi, termasuk program ijazah berperingkat.

“MCCBS ini direka selari dengan konsep Academic Bank Credits (ABC) yang akan diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai platform nasional bagi pengumpulan dan pemindahan kredit akademik.

“Pendekatan ini memastikan penyelarasan struktur, dasar dan pentadbiran USM dengan agenda nasional di bawah RPTM 2026–2035 serta membolehkan integrasi dengan platform nasional pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×