PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengarahkan sekatan sementara ke atas akses kepada Kecerdasan Buatan (AI) Grok bagi pengguna di Malaysia berkuat kuasa hari ini.
SKMM dalam kenyataan berkata, tindakan diambil susulan penyalahgunaan Grok berulang kali untuk menjana kandungan lucah, kandungan seksual eksplisit, kandungan tidak senonoh yang jelik melampau serta imej manipulasi tanpa persetujuan.
Katanya, ia termasuk kandungan yang melibatkan wanita dan kanak-kanak walaupun libat urus kawal selia telah dikeluarkan kepada X Corp. dan xAI LLC.
“SKMM telah mengeluarkan notis kepada X Corp. dan xAI LLC pada 3 dan 8 Januari bagi menuntut antara lain pelaksanaan langkah perlindungan teknikal dan penyelia kandungan yang mungkin melanggar undang-undang Malaysia termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Bagaimanapun, maklum balas yang dikemukakan oleh X Corp. pada 7 dan 9 Januari hanya memberi tumpuan utama kepada mekanisme pelaporan yang dimulakan oleh pengguna serta gagal menangani risiko sedia ada yang wujud hasil daripada reka bentuk dan pengoperasian alat AI tersebut,” katanya hari ini.
SKMM berkata, pihaknya mendapati perkara itu tidak memadai untuk mencegah kemudaratan serta memastikan pematuhan kepada undang-undang.
Katanya, sekatan itu dikenakan sebagai langkah pencegahan yang wajar sementara proses perundangan dan kawal selia masih berjalan dan sekatan akses kepada Grok akan kekal sehingga langkah perlindungan yang berkesan dilaksanakan khususnya bagi mencegah kandungan yang membabitkan wanita dan kanak-kanak.
“SKMM kekal terbuka untuk libat urus dengan X Corp dan xAI LLC tertakluk kepada pematuhan yang dapat dibuktikan terhadap undang-undang Malaysia. Orang awam digesa untuk melaporkan kandungan dalam talian yang memudaratkan kepada SKMM dengan segera dan jika perlu, membuat laporan polis,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kerajaan perlu mengambil langkah mengharamkan penggunaan media sosial Grok X di negara ini sekiranya platform itu terus gagal mematuhi undang-undang tempatan serta tidak menunjukkan komitmen mengekang kandungan berbahaya.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, pematuhan X terhadap keperluan kawal selia tempatan termasuk pengisytiharan jumlah pengguna dan kerjasama dengan pihak berkuasa dilihat tidak setara dengan platform global lain. – UTUSAN










