Pelajar UTHM harumkan nama Malaysia, raih emas di IPITEx Bangkok 2026 

Pelajar UTHM harumkan nama Malaysia, raih emas di IPITEx Bangkok 2026 

PENUNTUT Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) memenangi pingat emas pada  Ekspo Teknologi dan Inovasi, Reka Cipta, Harta Intelek Antarabangsa Bangkok (IPITEx) 2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua pelajar Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengharumkan nama negara dengan meraih pingat emas pada Ekspo Teknologi dan Inovasi, Reka Cipta, Harta Intelek Antarabangsa Bangkok (IPITEx) 2026.

Acara itu diadakan sempena Thailand Inventors’ Day 2026 yang berlangsung dari 5 hingga 9 Januari lalu.

Kejayaan membanggakan itu dicapai oleh pelajar doktor falsafah (PhD), Hong Peck Keong yang juga bekas Penasihat Industri FAST, bersama pelajar sarjana, Wesley Goh Yi Yong.

Kedua-dua mereka di bawah seliaan pensyarah, Prof. Madya Ts. Dr. Suliadi Firdaus Sufahani dengan kerjasama strategik rakan inovasi dari Indonesia,Taufik Sulaeman.

Dr. Suliadi berkata, kejayaan itu membuktikan komitmen UTHM khususnya FAST dalam memperkasa penyelidikan berimpak tinggi, inovasi teknologi dan kolaborasi antarabangsa demi manfaat industri dan masyarakat.

“Ia juga mencerminkan kemampuan pelajar pascasiswazah UTHM untuk bersaing di peringkat global serta menyumbang kepada pembangunan teknologi masa hadapan,” katanya dalam kenyataan.

Kemenangan pingat emas oleh pasukan FAST UTHM itu membuktikan keupayaan inovator muda tempatan untuk bersaing setara dengan pencipta antarabangsa.

Pertandingan IPITEx merupakan antara platform inovasi berprestij dunia yang menghimpunkan pencipta dan penyelidik dari pelbagai negara.

Pada edisi tahun ini, lebih 1,000 penyertaan inovasi dari 24 buah negara dipertandingkan merangkumi pelbagai kategori, sekali gus menjadikan persaingan amat sengit dan kompetitif.

Inovasi yang dipertandingkan bertajuk “Pendigitalan Pemantauan Ketersediaan, Prestasi dan Kualiti (OEE) melalui Analitik Data serta Pembangunan Pendekatan Sistem Pembuatan Baharu”.

Inovasi tersebut memfokuskan kepada pendigitalan pemantauan Keberkesanan Keseluruhan Peralatan (OEE) melalui analitik data serta pembangunan pendekatan sistem pembuatan baharu.

Pendekatan itu bertujuan meningkatkan kecekapan operasi industri dengan pemantauan prestasi yang lebih sistematik, tepat dan berasaskan data dalam persekitaran pembuatan moden.

”Saya mewakili fakulti berharap kejayaan ini dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inovasi berimpak tinggi yang mampu dikomersialkan serta memberi manfaat kepada industri dan masyarakat,” kata  Dr. Suliadi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×