PASIR MAS: Seorang ibu tidak dapat menahan sebak apabila impian anaknya menyambung pengajian ke universiti menjadi kenyataan selepas wang yang diperlukan bagi tujuan itu mencukupi hasil bantuan orang ramai.
Zakiah Nawang, 48, berkata, pendapatan suaminya yang bekerja sebagai tukang rumah memberikan kesukaran kepadanya untuk memenuhi hasrat anak mereka, Mohd.
Danial Ikhwan Mamat, 18, untuk menyambung pengajian ke Universiti Tun Hussien On Malaysia (UTHM).
“Dengan pendapatan suami (Mamat Samad, 58,) sebanyak RM800 sebulan hanya cukup untuk meneruskan kelangsungan hidup.
“Saya bersyukur, hasil bantuan orang ramai, Mohd. Danial Ikhwan dapat melanjutkan pengajian ke peringkat diploma sepertimana dihajatinya,” katanya kepada Utusan Malaysia semasa menerima kunjungan Yayasan Raja Shamri di Kampung Kubang Chenok di sini, semalam.
Zakiah berkata, anaknya melapor diri 20 Julai ini ke UTHM kampus Cawangan Pagoh, Johor untuk mengikuti pengajian peringkat Diploma Kejuruteraan Elektrik.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, kesempitan hidup dan masalah kewangan keluarga menyebabkan bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Jeli itu buntu memikirkan masa depannya sama ada mahu melanjutkan atau menangguhkan pengajian.
Sementara itu, Mohd. Danial Ikhwan meluahkan rasa syukur dan gembira dapat menyambung pengajian dalam jurusan tersebut.
Katanya, dia memang meminati bidang itu dan mahu mengubah nasib keluarga melalui pelajaran.
“Sebelum ini saya dan sekeluarga buntu kerana tiada wang untuk menyambung pengajian. Alhamdulillah, hasil bantuan dari Yayasan Raja Shamri, MRSM Jeli dan UTHM saya dapat menyambung pengajian,” katanya. – UTUSAN










