UTHM perkasa agenda kampus rendah karbon

UTHM perkasa agenda kampus rendah karbon

PARA peserta bergambar sebelum memulakan program MUST Green Ride with VC, yang menjadi platform utama dalam menggalakkan mobiliti rendah karbon dan mengurangkan kebergantungan terhadap pengangkutan bermotor berasap dalam persekitaran kampus.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

Oleh NURARIENAH SYAZWANY AHMAD PAUZI /imran

PETALING JAYA: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus memperkukuh komitmen terhadap kelestarian apabila giat membudayakan kampus rendah karbon sebagai sokongan kepada usaha Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) merealisasikan inisiatif Bandar Rendah Karbon 2030, sekali gus menyahut agenda nasional ke arah neutral karbon.

Menerusi penganjuran program MUST Green Ride with VC, yang menjadi platform utama dalam menggalakkan mobiliti rendah karbon dan mengurangkan kebergantungan terhadap pengangkutan bermotor berasap dalam persekitaran kampus.

Menurut Naib Canselor, Profesor Dr. Mas Fawzi Mohd. Ali, program tersebut menjadi penanda jelas kesungguhan universiti memupuk kesedaran perubahan iklim dan mendidik komuniti kampus agar membudayakan amalan kelestarian secara sistematik.

“Program tersebut menghimpunkan kepemimpinan universiti, staf dan pelajar sebagai simbolik solidariti warga UTHM dalam merealisasikan aspirasi universiti menuju Kampus Rendah Karbon secara menyeluruh dan berterusan,” katanya dalam satu kenyataan.

Keunikan program itu terserlah melalui penekanan kepada penggunaan micromobiliti pintar seperti skuter BEAM dan basikal elektrik (e-bike) yang disediakan khusus sebagai alternatif pengangkutan hijau untuk warga kampus.

Langkah tersebut bukan sahaja berupaya mengurangkan pelepasan karbon, malah menyokong pembentukan persekitaran kampus yang lebih sihat, bersih serta kondusif kepada budaya mobiliti hijau.

Dalam pada itu, UTHM turut memperkenalkan serta memperluaskan pelaksanaan Zon Bebas Karbon di beberapa kawasan strategik kampus bagi mengawal penggunaan kenderaan konvensional dan mengutamakan pergerakan menggunakan basikal, skuter elektrik, kenderaan elektrik serta amalan berjalan kaki sebagai norma baharu.

Program MUST Green Ride with VC yang disempurnakan oleh Dr. Mas Fawzi Mohd Ali juga dianggap melengkapkan dasar kelestarian universiti yang memberi fokus kepada pemeliharaan alam sekitar dan pembudayaan gaya hidup hijau dalam kalangan warga kampus.

UTHM turut melaksanakan penanaman kapsul masa yang menandakan aspirasi dan hala tuju universiti dalam memperkukuh penggunaan tenaga boleh baharu, dasar hijau serta gaya hidup mobiliti rendah karbon untuk diwarisi generasi masa depan.

“UTHM berharap usaha seumpama ini dapat menjadi pemangkin kepada perubahan tingkah laku yang lebih mampan serta meletakkan UTHM sebagai model Kampus Lestari yang progresif dan berdaya saing di peringkat nasional,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×