SHAH ALAM: Pas menafikan dakwaan bahawa keputusan menghentikan keahlian tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas Perlis dibuat atas arahan peribadi Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Penolong Setiausaha Agung Pas Pusat, Mohd. Syahir Che Sulaiman sebaliknya menjelaskan, tindakan tersebut merupakan ketetapan rasmi yang dibuat selaras peruntukan Perlembagaan parti.
“Sebagai pencerahan, Fasal 15A Perlembagaan Pas (Pindaan 2025) berkaitan Keberhentian Ahli Badan Perundangan Pas telah diluluskan oleh Muktamar Pas dengan sokongan sebulat suara.
“Di penghujung fasal tersebut dinyatakan dengan jelas bahawa ‘keputusan adalah muktamad’,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Syahir yang juga Setiausaha Politik kepada Presiden Pas itu berkata, ketetapan tersebut merupakan keputusan Muktamar selaku badan tertinggi parti.
Katanya, Pas Pusat hanya melaksanakan keputusan berkenaan bagi memenuhi mandat dan hasrat akar umbi parti dengan mengambil kira keseriusan pelanggaran yang berlaku.
“Untuk penjelasan fakta, keputusan Pas Pusat pada 24 Disember 2025 dibuat berdasarkan perakuan dan pengakuan yang telah diberikan sendiri oleh tiga bekas ADUN terbabit kepada Jawatankuasa Harian Pas Pusat dalam mesyuarat di Pejabat Agung Pas pada 21 Disember 2025.
“Hubungan antara Presiden Pas, Mursyidul Am Pas, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat serta Ahli Majlis Syura Ulama sentiasa terpelihara dan kekal utuh,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan, Pas memutuskan keahlian tiga ADUN Perlis terhenti serta-merta susulan tindakan mereka menandatangani akuan bersumpah (SD) yang didakwa menjejaskan kepimpinan kerajaan negeri.
Tiga ADUN terbabit ialah Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji). – UTUSAN










