PARLIMEN: Pinjaman baharu turun kepada RM75 bilion

PARLIMEN: Pinjaman baharu turun kepada RM75 bilion

LIEW CHIN TONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jumlah pinjaman baharu menurun daripada RM100 bilion pada 2021 kepada sekitar RM75 bilion pada 2025 hasil reformasi dan konsolidasi fiskal negara.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, nisbah bayaran khidmat hutang (DSC) Kerajaan Persekutuan meningkat kepada 16 peratus pada akhir 2025 berbanding 12.5 peratus pada 2019, susulan lonjakan mendadak hutang dari 2020 hingga 2022 bagi membiayai pakej rangsangan serta pelan pemulihan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Beliau berkata, dalam tempoh itu, hutang kerajaan Persekutuan meningkat kepada RM286.6 bilion iaitu kenaikan 36 peratus berbanding RM793 bilion pada 2019, manakala nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) turut meningkat daripada 52.4 peratus pada 2019 kepada 60.2 peratus pada 2022.

“Oleh itu, beberapa reformasi fiskal perlu dilaksanakan oleh kerajaan bagi memastikan defisit fiskal dan jumlah pinjaman tahunan dapat dikurangkan, sekali gus mengurangkan beban bayaran khidmat hutang dari semasa ke semasa.

“Melalui usaha reformasi dan konsolidasi fiskal serta pengurusan hutang berhemah, kerajaan berjaya mengurangkan pinjaman baharu daripada RM100 bilion pada 2021 kepada diunjur kira-kira RM75 bilion pada 2025 dan usaha akan diteruskan untuk menurunkannya pada 2026.

“Usaha ini membuahkan hasil dengan pertumbuhan DSC berjaya dikurangkan daripada 12.3 peratus pada 2023 kepada 9 peratus pada 2024 dan 6.4 peratus pada 2025,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) mengenai strategi kerajaan menangani DSC yang dijangka mencapai 16.3 peratus daripada jumlah hasil kerajaan pada 2025 serta langkah penstrukturan semula hutang bagi mengurangkan beban itu dalam jangka sederhana dan panjang.

Chin Tong berkata, beberapa strategi fiskal dijalankan secara berterusan termasuk konsolidasi fiskal secara beransur-ansur, memperluas asas hasil serta memastikan kutipan hasil yang mampan melalui langkah seperti perluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta pelaksanaan e-invois.

Katanya, kerajaan juga mengoptimumkan perbelanjaan awam melalui penyasaran subsidi diesel dan RON95 serta langkah rasionalisasi badan berkanun.

“Pada masa sama, pinjaman kerajaan hanya digunakan untuk membiayai projek dan program di bawah peruntukan pembangunan yang memberi pulangan jangka panjang kepada negara dan rakyat. 

“Had pendedahan jaminan kewangan ditetapkan pada 25 peratus daripada KDNK supaya pendedahan kerajaan sentiasa terkawal mengikut keupayaan kewangan dan ekonomi semasa.

“Projek berorientasikan ‘user-pay’ melalui Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030) diberi keutamaan, selain menyemak semula kaedah pelaksanaan projek secara ‘off-budget’,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN