KUALA LUMPUR: Pelaksanaan kanak-kanak berumur enam tahun Tahun Satu tidak dijadikan sebagai perintis, sebaliknya secara berfasa dan berlandaskan perancangan rapi mengikut perbincangan dengan pihak berkaitan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kanak-kanak tidak wajar dijadikan bahan percubaan, sebaliknya setiap pelaksanaan dasar mesti mengambil kira perkembangan kanak-kanak menyeluruh mereka.
“Anak kita bukan untuk ujian makmal ataupun tikus makmal. Sebab itu kita tekankan bahawa dalam konteks ini kita nak bagi tumpuan kerana ia adalah dasar yang telah pun kita bincangkan dan bahaskan dalam Rancangan Malaysia ke-13,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) meminta menteri menjelaskan kaedah serta langkah kawalan terhadap tekanan sosial ibu bapa sehingga menyifatkan kemasukan kanak-kanak berumur enam tahun ke Tahun Satu sebagai berlumba-lumba meskipun ia adalah sukarela.
Fadhlina berkata, aspek libat urus telah dilaksanakan secara menyeluruh sebelum sesuatu dasar diputuskan termasuk menerusi Jelajah Masa Depan Pendidikan Negara, penyediaan portal cadangan pendidikan masa hadapan serta di peringkat akar umbi yang memfokuskan kepada isu pendidikan awal.
Katanya, Kementerian Pendidikan akan memastikan kanak-kanak terlibat akan disokong dengan penilaian awal serta bantuan psikososial.
“Saya tidak fikir apa yang kita hasratkan ini bersifat tergesa-gesa. Keutamaan pertama adalah memastikan hak keselamatan dan kebajikan kanak-kanak dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.
“Kita juga melihat perkara ini secara menyeluruh dengan memberi penekanan kepada asas mengikut tahap perkembangan murid, bukan mempercepatkan perkembangan mereka kerana ia bukan soal berlumba-lumba,” katanya. – UTUSAN










