PARLIMEN: Kerugian penipuan dalam talian cecah RM5.62 bilion

PARLIMEN: Kerugian penipuan dalam talian cecah RM5.62 bilion

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan kerugian kewangan berjumlah RM5.62 bilion akibat jenayah penipuan dalam talian bagi tempoh tiga tahun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, trent penipuan jenayah dalam talian amat membimbangkankan apabila tahun lalu sahaja, jumlah kerugian direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebanyak RM2.77 bilion daripada RM1.57 bilion pada 2024 dan RM1.28 bilion (2023).

“Nilai kerugian tersebut merangkumi pelbagai bentuk penipuan dalam talian termasuk phone scam, love scam, jenayah e-dagang, jenayah e-kewangan, pinjaman tidak wujud serta pelaburan tidak wujud.

“PDRM terus mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang sedia ada termasuk peruntukan di bawah Seksyen 424A hingga 424D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman berat terhadap jenayah penipuan dalam talian.

“Ia selaras dengan tahap keseriusan serta kesan jenayah siber yang semakin kompleks dan terancang,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Larry Soon@Larry Sng Wei Shien (PBM-Julau) mengenai jumlah kerugian kewangan akibat penipuan dalam talian di Malaysia bagi tempoh tiga tahun kebelakangan serta langkah-langkah memperketatkan perundangan dan hukuman terhadap pihak terlibat dalam jenayah tersebut.

Menurut Saifuddin, kerajaan memperkukuhkan kerjasama strategik antara PDRM, institusi kewangan, syarikat telekomunikasi serta agensi penguatkuasaan dalam dan luar negara melalui mekanisme perkongsian maklumat, tindakan operasi bersepadu dan sokongan teknikal.

Katanya, langkah itu bertujuan meningkatkan keupayaan pencegahan, pengesanan, siasatan dan pendakwaan terhadap sindiket penipuan dalam talian.

“Dari aspek perundangan, kerajaan sedang meneliti cadangan pindaan undang-undang termasuk usaha memperketat peruntukan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta undang-undang berkaitan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.

“Penelitian itu merangkumi usaha meningkatkan hukuman, penalti serta tindakan pelucuthakan harta terhadap sindiket penipuan dalam talian termasuk individu yang terlibat sebagai akaun keldai, ejen atau pihak yang bersubahat dalam melancarkan kegiatan jenayah berkenaan.

“Usaha ini dilihat setimpal dengan nilai kerugian kewangan serta impak sosial yang ditanggung oleh mangsa. Kerajaan dan PDRM juga komited membanteras jenayah penipuan dalam talian secara tegas, menyeluruh dan berterusan.

“Penyelesaian itu akan dilaksanakan melalui penguatkuasaan undang-undang yang berkesan, penambahbaikan berterusan terhadap kerangka perundangan serta pengukuhan kerjasama antara agensi demi melindungi keselamatan, kepentingan dan kesejahteraan kewangan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN