KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen blok pembangkang mempersoalkan pengeluaran Garis Panduan Penggunaan Pusat Media Parlimen baharu yang disifatkan tidak wajar untuk perkembangan demokrasi di Malaysia.
Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) berkata, perkara itu dimaklumkan oleh pengamal media di Parlimen bahawa garis panduan berkenaan dikeluarkan hari ini dan mewajibkan semua Ahli Parlimen memohon kebenaran sekurang-kurangnya dua jam sebelum mengadakan sidang media.
Katanya, pentadbiran Parlimen akan membuat keputusan berhubung kelulusan permohonan tersebut dan ahli Parlimen juga perlu menyatakan tajuk atau topik yang ingin dibentangkan dalam sidang media berkenaan.
“Sekiranya proses itu diwajibkan, ia membawa maksud Parlimen telah mengenakan sekatan terhadap Ahli-ahli Parlimen untuk bersuara bagi mewakili rakyat.
“Kenapa suara wakil-wakil rakyat perlu disaring oleh Parlimen? Bukankah ini satu bentuk sekatan kebebasan bersuara yang boleh mencacatkan demokrasi negara kita?” katanya sebelum Perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini. – UTUSAN










