PETALING JAYA: Lima individu terdiri daripada empat penumpang bas dan seorang pemandu lori tiga tan tersepit dalam kemalangan di Kilometer 1.0 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Selatan berhampiran Rawang dekat sini, awal pagi tadi.
Panggilan kecemasan diterima pasukan penyelamat pada pukul 5.24 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang dihantar ke lokasi kejadian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, jentera bomba tiba di lokasi pada pukul 5.51 pagi dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah bas dengan lori.
“Terdapat lima mangsa tersepit, membabitkan empat penumpang bas dan seorang pemandu lori,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata, bas berkenaan membawa 42 penumpang termasuk dua pemandu dengan 38 penumpang daripadanya berjaya keluar dalam keadaan selamat. – UTUSAN









