Seorang maut, sembilan parah dalam kemalangan bas di PLUS

Seorang maut, sembilan parah dalam kemalangan bas di PLUS

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang penumpang bas maut manakala sembilan lagi cedera parah dalam kemalangan jalan raya melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 441.2 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 pagi itu, kemalangan membabitkan sebuah bas, lori dan sebuah motosikal.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, bas yang bergerak di lorong kanan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan, menyebabkan kenderaan itu melintang di tengah lebuh raya.

Katanya, rentetan itu, lori dan motosikal yang datang dari arah sama tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian kiri bas.

“Akibat pelanggaran tersebut, seorang penumpang bas disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Ariffin berkata, pemandu lori, penunggang motosikal serta tujuh penumpang bas mengalami kecederaan parah dan kini masih dirawat di hospital sama.

Bagaimanapun, pemandu bas dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat kemalangan jalan raya,” katanya.

Katanya, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Noor Farah Hanim Abu Bakar di talian 019-3311552.

“Selain itu. boleh hubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-6126 2222,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN