PETALING JAYA: Sebuah bas ekspres terbabas dan merempuh tebing bukit di kilometer (KM) 293.4, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), menyebabkan seorang penumpang maut dalam kejadian awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.57 pagi tu, anggota dan jentera Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi dikerah ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, jentera bantuan daripada BBP KLIA dan BBP Seri Kembangan turut dikerah ke lokasi.
“Komander operasi melaporkan kemalangan membabitkan bas ekspres yang terbabas sendiri lalu melanggar tiang papan tanda lebuh raya.
“Terdapat 19 mangsa termasuk pemandu bas yang terbabit dalam kemalangan itu.
“Seorang mangsa lelaki tempatan berusia 59 tahun tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, tiga lagi mangsa yang terperangkap berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba pada pukul 3.48 pagi manakala selebihnya berjaya keluar sendiri dari dalam bas sebelum ketibaan jentera bomba.
Katanya, 17 penumpang dan seorang pemandu bas mengalami kecederaan diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan kecemasan di lokasi. – UTUSAN









